'Menyelamatkan Malaysia daripada apa dan siapa?' - Hasanuddin

Datuk Hasanuddin Mohd Yunus
Datuk Hasanuddin Mohd Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru kepada semua pihak supaya berhenti berpolitik dan memberi fokus membangunkan masyarakat dan ekonomi.

Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, negara kini sudah berada dalam keadaan kelam kabut susulan tindakan pihak tertentu yang sentiasa berpolitik.

Justeru katanya, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk pihak tertentu mengadakan perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' pada Sabtu ini.

"Kempen pilihan raya negeri sudah selesai, maka sewajarnya semua pihak sudah berhenti berpolitik, tidak perlu lagi mengheret ummah ke acara membuang masa, tidak berfaedah dan menyusahkan masyarakat seperti cadangan berhimpun di Kuala Lumpur pada 16 September ini, kononnya atas nama ‘Selamatkan Malaysia’.

"Ia tidak lebih daripada sesuatu yang dianjurkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab sebagai retorik politik. Menyelamatkan Malaysia daripada apa dan siapa?," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Difahamkan penganjuran 'Himpunan Selamatkan Malaysia' akan berlangsung di hadapan sebuah pusat beli belah, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Himpunan itu antara lain dibuat berikutan keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, sebagai rakyat Malaysia yang mendukung Perlembagaan negara, seharusnya kita menghayati dengan penuh insaf kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan soal perpaduan negara Malaysia yang semakin lama semakin rapuh.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini kerana sikap daripada segelintir pimpinan politik yang meniupkan api perkauman sempit dan permusuhan dalam kalangan masyarakat bagi meraih sokongan dan undian sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

"Baginda turut mengingatkan kepada pimpinan politik untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab yang telah menyebabkan kekeliruan apatah lagi fatwa tersebut dikeluarkan oleh pihak yang tidak mempunyai kredibiliti dan autoriti atas perkara tersebut," tegasnya.