'Jangan pilih 16 September, hormati Hari Malaysia' - Saifuddin

Saifuddin (dua, kiri) melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023 di Putrajaya pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI
Saifuddin (dua, kiri) melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023 di Putrajaya pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia tidak menghormati sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Jelas Saifuddin, penganjur seharusnya menghormati semangat perpaduan setiap lapisan masyarakat pada hari istimewa buat negara itu.

"Penganjur telah buat hebahan... ulasan saya sebaiknya jangan pilih 16 September, itu kan tarikh sambutan Hari Malaysia... dari 31 Ogos sampai 16 September.

"Sambutan yang signifikan, semangat saling hormat menghormati... kepatuhan kepada undang-undang. Malangnya pihak penganjur pilih tarikh itu, jelas tidak menunjukkan rasa hormat.

"Hidup toleransi, perpaduan antara kaum dan agama terutama kelompok daripada rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak... pada mereka tarikh ini penting," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan yang dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu, kata Saifuddin perlu berlandaskan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 201.

"Polis telah buat reaksi balas apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Pihak polis sebagai pasukan penguat kuasa undang-undang, mereka tahu tanggungjawab penganjur, peserta dan pasukan polis. Perkara itu sudah terang lagi bersuluh," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023 di Putrajaya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin menjelaskan perhimpunan yang dijangka bakal dihadiri 10,000 peserta di Kampung Baru, ibu negara itu akan tetap diteruskan meskipun mendapat pelbagai reaksi. - Awani