Angkasa ingatkan penjawat awam waspada

Mohd Shahar (tiga, kanan) dan Abdul Fattah (dua, kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan
Mohd Shahar (tiga, kanan) dan Abdul Fattah (dua, kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan
A
A
A

KUANTAN - Penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diingatkan agar lebih berwaspada dengan tawaran pinjaman mudah menjelang musim perayaan oleh ejen syarikat pemberi pinjaman.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, terdapat syarikat pemberi pinjaman terutamanya yang tidak berlesen mengaku mereka adalah ejen Angkasa yang boleh membantu penjawat awam atau kakitangan GLC memperoleh pinjaman segera bagi meringankan bebanan mereka melakukan persiapan setiap kali tiba musim perayaan.

Menurutnya, taktik digunakan wakil syarikat pemberi pinjaman wang ini ialah dengan menampalkan iklan ditawarkan dengan mendakwa mereka dari koperasi tertentu dan boleh menguruskan pinjaman mudah serta pembayaran balik melalui potongan gaji.

"Skim pinjaman dan pembayaran melalui potongan gaji ini hanya boleh dilakukan kepada kakitangan kerajaan atau GLC sahaja, jadi taktik mereka (ejen syarikat pemberi pinjaman wang) ialah dengan mendakwa wakil koperasi yang mempunyai kaitan dengan Angkasa dan boleh menguruskan permohonan pinjaman dibuat dengan mudah.

"Taktik ini memang sering dilaporkan dan digunakan setiap kali tiba musim perayaan, macam sekarang sudah hampir dengan sambutan Aidilfitri, kumpulan ini akan muncul kerana mereka tahu ramai akan memerlukan pinjaman kecemasan bagi membuat persiapan menyambut hari raya.

Abdul Fattah diiringi Mohd Shahar merakamkan gambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Masjid Felda Sungai Panching Timur semalam.
Abdul Fattah diiringi Mohd Shahar merakamkan gambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Masjid Felda Sungai Panching Timur semalam.

"Kita memandang serius perkara ini kerana ejen terbabit menggunakan nama Angkasa dan mengingatkan orang ramai terutamanya penjawat awam supaya tidak terpedaya dengan iklan seumpama itu," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Masjid Felda Sungai Panching Timur semalam.

Turut hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin.

Artikel Berkaitan:

Seramai 40 anak yatim menerima sumbangan wang dan pakaian daripada Angkasa pada majlis itu.

Abdul Fattah berkata, penjawat awam atau GLC perlu menyemak terlebih dahulu status syarikat atau ejen syarikat pinjaman wang terbabit, sama ada mewakili koperasi seperti didakwa mereka atau tidak bagi mengelak daripada menjadi mangsa.

Menurutnya, berdasarkan rekod Angkasa, terdapat kira-kira 800 koperasi dibenarkan menawarkan pinjaman wang kepada ahli, termasuk penjawat awam dan kakitangan GLC dan daripada jumlah itu, hanya 400 koperasi yang aktif menawarkan pinjaman pada kadar faedah munasabah.

"Bagi koperasi yang layak memberikan pinjaman, janganlah sampai membebankan peminjam... kita kena uruskan dengan baik dan profesional setiap permohonan dikemukakan ahli dengan mengambil kira kemampuan mereka membuat pembayaran balik.

"Kita juga meminta orang ramai yang pernah ditawarkan pinjaman oleh ejen yang mendakwa mewakili Angkasa membuat laporan polis bagi memudahkan tindakan diambil terhadap syarikat berkenaan," katanya.