Terperangkap di era Muhyiddin, penjawat awam sokong PN dalam PRN - Ilham Centre

Muhyiddin. Gambar kecil: Muhamad Hisommudin
Muhyiddin. Gambar kecil: Muhamad Hisommudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pola pengundian pilihan raya negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos lalu menunjukkan penjawat awam lebih menyokong Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kajian yang dilakukan badan penyelidikan Ilham Centre.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar berkata, daripada temu bual yang dilakukan didapati penjawat awam sebenarnya masih terperangkap dalam era pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, disebabkan itu penjawat awam tidak menterjemahkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang mentadbir sekarang.

"Penjawat awam tidak terjemahkan sokongan kepada kerajaan kerana (berlaku episod) perubahan pentadbiran kerajaan. Kalau dilihat (sebelum ini) daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) bertukar kepada PN selepas insiden Langkah Sheraton. Kemudian daripada PN (berubah) kepada Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan.

"Jadi bagi kelompok penjawat awam ini sebenarnya mereka masih terperangkap ketika pentadbiran di bawah Muhyiddin. Mereka terperangkap di situ dan tidak menukar (sokongan) kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi soal jawab dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 bertajuk 'PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi' yang bersiaran secara langsung dari Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya, di sini, pada Jumaat.

Muhamad Hisommudin terdahulu turut membentangkan dapatan kajian berjudul 'Prediksi Akhir PRN, Prestasi PH Unggul, PN Kuasai Jajaran Melayu'.

Wacana itu turut menampilkan empat panel lain iaitu Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim yang membentangkan laporan bertajuk 'Pola Pengundian PRN Membentuk Polarisasi Kaum' dan Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis (Merawat Melayu: UMNO Perlu Bagaimana).

Artikel Berkaitan:

Pensyarah Kanan APM, Dr Abdul Muqit Muhammad pula memperincikan hasil kajian 'Memahami Pengundi Muda/Pertama Kali' dan Editor Kanan Astro Awani, Nazri Kahar (Media: Politik Prestasi VS Sentimen).

Mengulas lanjut, Muhamad Hisommudin menjelaskan, daripada segmen penjawat awam itu dapat dilihat golongan guru kini beralih arah menyokong Pas atau PN.

"Guru ini dahulunya adalah aset kepada UMNO-BN kerana dulu kebanyakan daripada mereka memang secara terbuka menyokong BN tetapi sekarang ini dah jadi sebaliknya, (mereka dilihat) menyokong Pas atau PN.

"Dalam temu bual saya dengan guru-guru di sekolah-sekolah mereka mengakui Menteri Pendidikan sekarang lebih baik (daripada menteri sebelumnya) tetapi mereka tetap menyokong PN," ujarnya.

Kata Muhamad Hisommudin, situasi berkenaan juga jelas menunjukkan gandingan naratif Melayu dan Islam jika digabungkan ia memberikan kelebihan kepada PN.

"Kalau dulu (identiti) BN hanya Melayu, Pas hanya Islam tetapi sekarang ini (bila naratif Melayu dan Islam) digabungkan, ia memberikan satu gabungan yang luar biasa," jelasnya.