Cuepacs yakin kerajaan tunai janji naik gaji penjawat awam

Adnan (dua dari kanan) bertemu penjawat awam selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, pada Rabu.
Adnan (dua dari kanan) bertemu penjawat awam selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan menunaikan janji untuk menaikkan gaji penjawat awam biarpun keputusan pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri menyaksikan kekalahan teruk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu termasuk meluluskan segera kenaikan imbuhan tetap kakitangan kerajaan sekurang-kurangnya RM100 sebagaimana dijanjikan.

"Bagi penjawat awam kerajaan adalah majikan kami, tempat kami meminta dan kerajaan telah memberikan komitmen dan kami berharap komitmen itu terus mampu kekal sehingga mampu dilaksanakan oleh kerajaan.

"Ia amat perlu dalam keadaan anggota perkhidmatan awam berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat di luar sana, " katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di sini, pada Rabu.

Jelas Adnan, gaji penjawat awam yang menjadi tunjang utama kerajaan itu sepatutnya telah dinaikkan dua tahun lalu, namun kerajaan ketika itu tidak melaksanakannya termasuk melakukan kajian mengenai skim gaji dan persaraan golongan tersebut.

Dalam pada itu, Adnan turut mempertikaikan tindakan segelintir pihak yang mendakwa kerajaan tidak akan menaikkan gaji penjawat awam berikutan prestasi tidak memberangsangkan parti kerajaan dalam PRN baru-baru ini.

“Kenyataan itu satu pandangan serong, satu pandangan yang tidak berperlembagaan kerana sebagai anggota penjawat awam, kita telah menjalankan tugas kita.

"Jika majikan kami yang juga merupakan kerajaan ini telah bersetuju untuk meningkatkan gaji maka kami amat yakin kerajaan mampu melakukannya walaupun keputusan PRN dilihat positif atau negatif, itu tajuk yang lain (dua perkara berbeza),”ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan Madani 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun yang dijangka diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.