Ahli PPN Kelantan buat bantahan pindaan akta pertubuhan

Aimi (tengah) bersama ahli PPN yang lain semasa membuat bantahan di KADA disini.
Aimi (tengah) bersama ahli PPN yang lain semasa membuat bantahan di KADA disini.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 150 ahli Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan (PPN) tampil membuat bantahan berkenaan pewartaan baru melibatkan akta dalam Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019.

Ahli Jemaah Pengarah PPN, Datuk Aimi Yusof berkata, tindakan pewartaan tersebut tidak pernah dibincangkan dengan pihak mereka dan ia seolah-olah mencabuli hak mereka sebagai ahli dalam pertubuhan tersebut.

"Pindaan itu menyebut bahawa jumlah lantikan oleh pihak menteri terutama di PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melebihi jumlah yang dilantik atau yang dipilih melalui mesyuarat pertubuhan peladang tersebut.

"Tindakan ini menggambarkan mereka menafikan hak kami sebagai peladang di semua peringkat untuk memilih kepimpinan kami sendiri sedangkan kami menyedari pertubuhan kami ini bukan syarikat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang boleh diatur sewenang-wenangnya.

"Kami semua ahli yang sah dan bersaham disemua peringkat samada ahli, PPK, PPN semuanya yang mempunyai saham di NAFAS," katanya kepada pemberita disini hari ini.

Mereka mula berkumpul di depan bangunan utama KADA, di Lundang sejak jam 8.30 pagi kerana dijemput untuk menghadiri taklimat daripada pendaftar pertubuhan dari Kuala Lumpur namun mengambil peluang tersebut untuk membuat bantahan itu.

Menurut Aimi, bukan hanya di Kelantan, malah bantahan yang sama turut dilakukan di seluruh negara, termasuklah Borneo, Labuan Sabah dan Sarawak kerana ia telah diwartakan tanpa pengetahuan ahli dan hanya dimaklumkan untuk mengikut pindaan tersebut.

"Kami bertegas dan bertekad supaya pihak kementerian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menunda, menangguhkan dan seterusnya membatalkan pindaan ini demi kepentingan dan ahli-ahli kami di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah terdahulu sangat relevan dan bagus untuk kami, maka seboleh mungkin janganlah kacau kami. Biar kami tentukan sendiri hala tuju dan kepimpinan tersebut kerana apa yang dapat dilihat, pindaan ini dibuat tergesa-gesa atas sebab kepentingan tertentu. Ada yang tersirat di sebalik pindaan tersebut," katanya.

Untuk rekod, Kelantan sahaja mempunyai 34 Pertubuhan Peladang Kawasan yang mana 13 daripadanya berada di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan 21 lagi dibawah Lembaga Pertubuhan Peladang dengan jumlah keahlian seluruh Negara mencecah 900,000 orang.