Tiada pindaan akta pembayaran cukai oleh waris: Ahmad

Ahmad (kanan) pada sidang akhbar selepas Perjumpaan Raya Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Sari Benut pada Sabtu.
Ahmad (kanan) pada sidang akhbar selepas Perjumpaan Raya Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Sari Benut pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan tidak bercadang untuk melakukan sebarang pindaan berhubung pembayaran tunggakan cukai pendapatan bagi pembayar cukai yang meninggal dunia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terdapat kebimbangan jika akta dipinda kepada pewaris atau pentadbir harta, ia akan menurunkan motivasi untuk membayarkan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Akta yang ada setakat ini, dikekalkan dan belum ada sebarang pindaan. Kita berpandangan jika tidak dibuat, ada pihak tidak bertanggungjawab tidak membayar cukai dan tunggu dirinya mati. Maka, kemungkinan besar ia tidak memberi motivasi untuk membayar cukai kepada LHDN.

"Perkara itu sudah ada dalam akta LHDN, tetapi LHDN memaklumkan kepada jumlah yang dikenakan kepada pendapatan sehingga kematian yang perlu dicukaikan. Oleh itu jika mempunyai keupayaan hasil daripada harta si mati eloklah bayar cukai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perjumpaan Raya Persatuan Penulis Johor di Rumah Citra Sari Benut di sini pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, media melaporkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu pembayaran tunggakan cukai pendapatan pembayar cukai yang meninggal dunia.

Mesyuarat berkenaan bagi mencari kesepakatan susulan pandangan berbeza mufti dalam konteks syarak, berhubung undang-undang menuntut wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan.

Mengikut Seksyen 74 ACP 1967, waris atau wasi boleh dikenakan taksiran cukai seperti taksiran dikenakan ke atas si mati, termasuk menguruskan sebarang tunggakan atau lebihan cukai si mati.