Hidup tidak tenteram selepas menantu pinjam duit along

Leong Pan (tengah) bersama Mohd Rawi (kanan) menunjukkan gambar kereta yang terkena cat merah dan laporan polis yang dibuat selepas rumah diganggu along, Ahad lalu.
Leong Pan (tengah) bersama Mohd Rawi (kanan) menunjukkan gambar kereta yang terkena cat merah dan laporan polis yang dibuat selepas rumah diganggu along, Ahad lalu.
A
A
A

IPOH - Gara-gara menantu perempuan pinjam wang, empat sekeluarga di Taman Bercham Indah di sini, hidup dalam ketakutan apabila diganggu along, Ahad lalu.

Mangsa, Chiang Leong Pan, 60, yang tinggal bersama isteri, seorang anak dan cucunya berusia setahun kini diselubungi perasaan resah kerana bimbang diugut oleh ceti haram itu.

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas tiga kereta miliknya serta jiran disimbah cat merah serta dilekatkan dengan dua nota amaran terakhir.

"Nota itu tertera nama menantu, saya cuba hubungi dia dan anak yang bekerja di Singapura tetapi gagal.

"Saya cuba mendapatkan penjelasan kerana kami takut kejadian begini akan menganggu ketenteraman saya dan jiran-jiran," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini pada Rabu.

Tambah Leong Pan, dia sendiri tidak mengetahui jumlah sebenar wang yang dipinjam oleh menantunya itu.

"Kami tidak mempunyai kaitan dengan sebarang pinjaman along ini dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bercham.

"Kes ini buatkan keluarga berasa lebih takut lebih-lebih lagi waktu malam dan minta pihak berkenaan jangan ganggu rumah kami lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang dalam talian.

"Kebanyakan kes yang kami terima melibatkan mereka yang meminjam wang dalam talian dan meletakkan alamat rumah ahli keluarga sebagai rujukan.

"Buatlah pinjaman wang daripada peminjam wang berlesen. Bagi kes ini, kita akan buat surat kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.