Wanita jadi sasaran gara-gara bekas suami hutang along

Wai Leng (kanan) dan Chin Tsai menunjukkan laporan polis dan surat layang yang diterima pada sidang akhbar bersama di Seremban pada Khamis.
Wai Leng (kanan) dan Chin Tsai menunjukkan laporan polis dan surat layang yang diterima pada sidang akhbar bersama di Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ejen insurans berusia 51 tahun hidup dalam ketakutan selepas diganggu panggilan dipercayai along yang mencari bekas suaminya dua minggu lalu.

Menurut Lo Wai Leng, dia menerima panggilan dari nombor tidak dikenali bertanya sama ada masih berhubung dengan bekas suaminya itu.

Malah, beberapa hari selepas itu dia turut menerima surat layang yang tertera gambar lelaki terbabit serta salinan kad pengenalannya.

"Kami tidak lagi berhubung selepas 24 tahun berpisah dan saya tidak tahu apa-apa mengenainya, malah saya juga telah pun berkahwin lain.

"Tapi tiba-tiba ada nombor tidak dikenali menghubungi saya bertanya berkenaan bekas suami.

'Saya tidak pasti kenapa individu tersebut mencarinya, tapi saya mengesyaki dia ada meminjam dengan along," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai di sini pada Khamis.

Menurutnya, anak lelakinya yang berusia 24 tahun turut menerima pesanan melalui aplikasi WhatsAp daripada nombor sama yang bertanyakan berkenaan bekas suaminya itu.

Tidak cukup itu saja katanya, ibunya yang berusia 74 tahun turut diganggu menyebabkan warga emas tersebut tidak lelap tidur sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Sudahlah ibu saya menghidap Parkinson dan juga anxiety dan apabila kes ini menggangu keluarga kami, dia tak dapat tidur.

"Saya betul-betul risau soal keselamatan kami sekeluarga. Macam mana individu tersebut boleh tahu nombor telefon kami?" katanya.

Sehubungan itu katanya, dia telah pun membuat laporan polis Selasa lalu dan sidang akhbar diadakan bagi menguar-uarkan yang dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan bekas suaminya itu.

Sementara itu Chin Tsai berkata, wanita berkenaan berjumpa dengannya bagi mendapatkan pandangan berhubung masalah dihadapi.

"Saya berharap wanita ini tidak lagi diganggu dan sebab itu saya sarankannya mengadakan sidang media menghebahkan yang dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan lelaki berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!