Duit lesap, masuk penjara pula gara-gara diperdaya scammer

Ila (tengah) ketika ditemui media di PWKK Kapayan.
Ila (tengah) ketika ditemui media di PWKK Kapayan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang juruwang tidak menyangka wang simpanan yang dilaburkan lebih RM2,000 kepada 'scammer' menjadi punca dia kini menjadi penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) sejak hampir enam bulan lalu.

Ila (bukan nama sebenar) berusia 24 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah wang syarikat tempatnya bekerja yang bernilai RM48,000.

Ila yang menyesali tindakannya itu bertekad untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak mudah menjadi mangsa penipuan scammer dalam apa cara sekalipun.

"Sejak enam bulan berada di sini, banyak perkara yang saya telah pelajari bukan saja mengenai taktik scammer tetapi juga ilmu pengetahuan lain seperti bidang keagamaan dan kemahiran.

"Saya bertekad apabila keluar nanti, saya akan sebarkan ilmu yang saya peroleh sepanjang berada di dalam penjara ini terutama berkaitan penipuan dalam talian supaya orang ramai tidak mudah terpedaya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di PWKK Kapayan, di sini, pada Selasa.

Diminta berkongsi kisahnya bagaimana terlibat dalam jenayah pecah amanah, Ila berkata, kejadian itu bermula apabila dia tertarik dengan sebuah iklan yang menawarkan kerja sampingan mudah tetapi membawa pulangan yang besar.

"Saya diminta melakukan pembelian barangan secara dalam talian tetapi dengan menggunakan wang sendiri terlebih dahulu sebelum diberi ganjaran.

"Pada awalnya saya melabur wang sebanyak RM75 dan kemudian menerima pulangan sebanyak RM100, kemudian saya diberi tugasan lain dengan melaburkan semula wang tetapi kemudian saya dikatakan tidak menepati syarat mereka.

"Bagi mendapatkan wang itu semula, saya telah melaburkan wang simpanan dan tidak menyedari angka wang yang telah dilaburkan mencecah lebih RM2,000 tetapi saya masih dikatakan tidak menepati syarat mereka," katanya.

Ila berkata lagi, ketika itu dia hanya terfikir mahu mendapatkan semula wang simpanan yang telah dilaburkannya.

"Disebabkan ketika itu saya yang bertanggungjawab memegang wang hasil jualan syarikat, saya bertindak menggunakan wang itu melakukan perkara yang sama demi mendapatkan semula wang simpanan berkenaan.

"Dalam tempoh tiga hari, saya telah menggunakan sebanyak RM48,000 duit syarikat dan kejadian itu telah dikesan oleh majikan kerana wang tersebut sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun syarikat tetapi tiada rekod mengenainya," katanya.

Katanya lagi, dia kemudian telah dipanggil oleh majikan sebelum mengaku bahawa telah mengambil wang tersebut.

"Saya diminta mengembalikan semula wang itu tetapi disebabkan tidak mampu, saya reda menerima hukuman ini," katanya.