Penubuhan jawatankuasa khas tepat pada masanya, sekat pihak cabar undang-undang Islam

Laporan sinar harian pada Isnin. Gambar kecil: Zainul Rijal, Musa
Laporan sinar harian pada Isnin. Gambar kecil: Zainul Rijal, Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar satu jawatankuasa khas segera ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagai tepat pada masanya.

Presidennya, Musa Awang berkata, ia mengambil kira situasi kebelakangan ini memperlihatkan banyak kes-kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar oleh pihak tertentu adalah wajar untuk mewujudkan jawatankuasa berkenaan.

Malah katanya, cabaran yang dibuat itu juga turut memberikan imej dan persepsi negatif terhadap Mahkamah Syariah yang berada di bawah bidangkuasa Dewan Undangan Negeri (DUN).

"PGSM menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku Sultan sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

"Konflik bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri wajar diselesaikan dengan segera agar masyarakat dan negara ini dapat bergerak maju ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sultan Sharafuddin pada Isnin bertitah satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

Mengulas lanjut Musa berkata, pihaknya turut berharap cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa khas tersebut hendaklah berpegang kepada prinsip menghormati pemisahan bidang kuasa antara negeri dan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia juga mesti mencerminkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3), serta menghormati kuasa eksklusif Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa khas tersebut juga bukan semata-mata tertumpu kepada undang-undang (Syariah) yang diluluskan oleh DUN.

"Ia malah juga termasuklah pindaan kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut mempunyai pandangan sama.

Ujarnya, penubuhan jawatankuasa khas itu penting bagi menyekat pihak yang berani mencabar undang-undang syariah di negeri-negeri seperti yang berlaku ketika ini.

Jelas Zainul Rijal, adalah menjadi asas untuk mahkamah sivil dan syariah saling melengkapi, bukan bersaing antara satu sama lain.

"Saya menyokong titah baginda (dan ahli jawatankuasa khas itu) memerlukan pelantikan individu yang mahir dalam perundangan untuk meminda perlembagaan bagi menyelesaikan kekusutan ini.

"Selain itu, sejarah perundangan negara juga perlu diambil kira (dalam usaha untuk mewujudkan jawatankuasa khas tersebut) kerana kedua-duanya (bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah) adalah sistem perundangan yang sah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:

Segerakan jawatankuasa khas kaji kompetensi DUN