'SOP REE tepat pada masanya, elak kecurian' - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Sudah sampai masanya negara mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan penerokaan mineral baharu, unsur nadir bumi (REE) dilakukan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, SOP berkaitan REE amat diperlukan berikutan terdapat beberapa negeri kaya dengan mineral tersebut, namun ketiadaan SOP menyebabkan cari gali terpaksa ditangguhkan.

Menurutnya, dengan adanya SOP berkenaan juga dapat mengelak berlakunya kecurian REE disebabkan tapak mineral tersebut diceroboh pihak tertentu.

“Saya pun berasa lega kalau sudah ada SOP. Kita boleh mulakanlah proses seterusnya sebab kita tunggu lama dah. Sampai orang curi REE tu.

“Harap-harap tiada kecurian lagi apabila sudah ada SOP, jadi kerajaan-kerajaan negeri sudah boleh membuat kelulusan berdasarkan SOP tersebut. Pada masa sama, kecurian REE akan dapat diatasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Sanusi berharap Kedah akan mempunyai hasil-hasil baharu daripada REE berdasarkan SOP yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kelak.

“Sudah tiba masanya untuk teroka mineral baharu (khususnya REE) untuk tambah pendapatan negeri. Kena bagilah ruang kepada kerajaan-kerajaan negeri.

“Bukan Kedah saja, sebab REE ada di semua negeri. Saya rasa deposit paling besar di Terengganu. Sementara yang diteroka menjadi pilot projek untuk membangunkan SOP (REE) di Perak. Kemungkinan ia sudah lengkap dan akan keluarlah satu SOP untuk semua negeri,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selepas Perak, negeri kedua yang sewajarnya dijadikan pilot projek adalah Kedah.

Pada Isnin, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan garis panduan dan SOP berkaitan REE akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikannya di bawah Majlis Mineral Negara akan dipanggil untuk berbincang mengenai perkara itu selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri selesai.

Sanusi menegaskan, kerajaan negeri bersedia untuk mematuhi SOP yang akan dikeluarkan dan akan membuat persediaan awal berhubung penerokaan REE di negeri ini.

“Kita akan patuh SOP tersebut dan ikut ketetapan yang dikeluarkan. Alhamdulillah kalau sudah ada SOP, harap tak ada lagi kes curi REE.

“Pasal curi REE depa (mereka) tak sebut dah ka?. Curi di Negeri Sembilan, di Pahang tak sebut?,” soal Sanusi.

Dalam pada itu, Sanusi mengucapkan terima kasih kepada Nik Nazmi yang bertindak pantas dalam membangunkan SOP bagi tujuan penerokaan REE.

“Saya ucap terima kasih kepada Nik Nazmi dan kementerian terlibat kerana tindak balas yang pantas itu. Ini merupakan berita baik.

“Setakat ini, saya belum dapat jemputan lagi untuk hadir ke mesyuarat berkenaan (Majlis Mineral Negara) kerana saya memang terbabit untuk wakili Kedah,” katanya.

Sebelum ini, kecurian REE yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik menjadi polemik selain dijadikan modal kempen ketika pilihan raya negeri (PRN) Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mendedahkan beberapa bukti yang dikaitkan dengan kecurian REE, termasuk gambar Muhammad Sanusi bersama warga China yang dikaitkan dengan kegiatan itu.