Muhyiddin didakwa kes rasuah RM232.5 juta, ubah wang haram RM195 juta

Muhyiddin ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN
Muhyiddin ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Muhyiddin, 76, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot hitam tanpa tali leher, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussain.

"Saya tidak mengaku bersalah, mohon dibicarakan," kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen ini membawa hukuman penjarakan sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.