Zahid minta Muhyiddin campur tangan kes mahkamah? Ini jawapan Azmin

Mohamed Azmin - Foto Instagram @keluar.sekejap
Mohamed Azmin - Foto Instagram @keluar.sekejap
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa terdapat permintaan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi sokongan sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ia termasuk permintaan menjadikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan campur tangan dalam urusan kes mahkamah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, jelas Mohamed Azmin, Muhyiddin kekal dengan prinsipnya untuk tidak mencampuri mana-mana kes mahkamah yang sedang dibicarakan.

Mohamed Azmin menyatakan perkara itu menerusi siaran podcast Keluar Sekejap dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan malam tadi.

“Ya, itu antara tuntutan yang dikemukakan oleh Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan pada masa sama, beliau juga meminta Muhyiddin mengambil peranan sebagai Perdana Menteri untuk campur tangan dalam urusan beliau di mahkamah.

“Oleh kerana beliau sedang menyaman Muhyiddin dalam perkara ini, saya pun telah mengemukakan afidavit kepada mahkamah yang mengesahkan bahawa saya ada dalam perbincangan tersebut dan ada beberapa permintaan oleh Zahid untuk membersihkan namanya tetapi saya tidak akan perincikan kerana dalam kes mahkamah.

“Tetapi, pokoknya, prinsip yang diambil oleh Muhyiddin ialah beliau tidak boleh mencampuri mana-mana kes yang sedang dibicarakan di mahkamah. Bagi saya, ini satu pendirian yang menyentuh perasaan saya,” kata Mohamed Azmin.

Tambahnya, beliau turut mengagumi pendirian Muhyiddin itu walaupun ketika itu bekas perdana menteri itu sedang berdepan dengan margin kecil dan pentadbiran yang tidak kukuh.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohamed Azmin lagi, itu antara punca kejatuhan kepimpinan Muhyiddin selepas penarikan sokongan oleh 15 Ahli Parlimen.

Susulan itu, katanya, Muhyiddin bersedia untuk menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan syarat jelas, termasuk tiada sebarang kleptokrasi dalam pentadbirannya.

Yang demikian Itu, kata Mohamed Azmin, menggambarkan perbezaan kepimpinan sebelum ini dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Awani.