Siasatan ke atas 1MDB untuk dapatkan semula wang, bukan dakwa Najib - Zeti

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa matlamat akhir siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah untuk mengetahui sama ada syarikat itu melakukan sebarang salah laku dan mendapatkan semula wang 1MDB.

Saksi berusia 76 tahun itu menafikan bahawa siasatan tersebut bertujuan mencari jalan untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggulingkan kerajaan.

Pihak berkuasa yang terbabit dalam Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan pada 6 Mac 2015 untuk menyiasat isu 1MDB ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Zeti bagi BNM, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

"Ketika itu, siasatan adalah ke atas 1MDB dan bukan PM (Najib), selepas itu kami dapati ada kaitan,” kata Zeti ketika disoal oleh peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-46 itu juga berkata, beliau tidak tahu sama ada SPRM telah menyiasat Najib secara rahsia pada masa tersebut kerana perkara tersebut tidak pernah disebut dalam mesyuarat pasukan petugas.

Muhammad Shafee: Saya katakan kepada awak pasukan petugas berkenaan adalah bagi mencari jalan untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu (Najib)?

Zeti: Tidak betul kerana ketika pasukan itu bermesyuarat buat pertama kali pada 9 Jun 2015, tiada pengetahuan di pihak BNM bahawa terdapat kaitan dengan 1MDB yang membabitkan akaun Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Adakah awak sedar bahawa terdapat draf pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu apabila premis seorang Timbalan Pendakwa Raya SPRM digeledah?

Artikel Berkaitan:

Zeti: Tidak sedar.

Terdahulu, Zeti memaklumkan mahkamah bahawa BNM hanya mengetahui jumlah sebenar wang yang masuk ke akaun Najib ialah RM3.2 bilion selepas serbuan bersama dilakukan oleh BNM dan SPRM ke atas premis AmBank pada 2015.

Muhammad Shafee: Saya katakan kepada awak bahawa awak sedar bahawa kesalahan itu adalah dalam Lembaga Pengarah 1MDB, pihak pengurusan 1MDB, BNM serta AmBank, dan siapa yang berada dalam kandang tertuduh? Bekas PM yang tidak melakukan apa-apa dalam transaksi ini. Saya katakan kepada awak, adakah sebarang bukti yang boleh menunjukkan bahawa Najib terlibat dalam penipuan ini?

Zeti: RM3.2 bilion masuk ke dalam akaunnya dan beliau membelanjakan sekurang-kurangnya RM1 bilion dan ini adalah sebahagian daripada wang 1MDB... itulah sebabnya.

Selain itu, Zeti menafikan bahawa Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang ditubuh pada 12 Mei 2018, yang turut dianggotai beliau, adalah untuk meneliti isu 1MDB.

CEP adalah terdiri daripada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Zeti bagi BNM, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, taikun Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

"Saya menghadiri mesyuarat 100 hari (CEP) dan 1MDB tidak dibincang. Mengapa mereka memanggil Robert Kuok dan Hassan Marican bagi membincangkan isu 1MDB. Kami berada dalam mesyuarat itu untuk memberi nasihat mengenai ekonomi Malaysia,” katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN

Zeti bongkar isu 1MDB babit Najib

Derma kerabat Arab Saudi tak pernah didedah kepada BNM - Zeti

Skandal 1MDB diklasifikasi NFA oleh Peguam Negara - Zeti

BNM seakan ‘dibiarkan dalam kegelapan’ - Zeti