Zeti bongkar isu 1MDB babit Najib

Zeti hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi, pada Khamis. - Foto Bernama
Zeti hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Setelah dicanang akan membongkar kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tahun lalu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz akhirnya memberi kenyataan di bangku saksi Mahkamah Tinggi, di sini pada jam 2.40 petang Khamis.

Ketika membaca pernyataan saksi setebal 17 muka surat, Zeti yang hadir dengan memakai baju kurung berwarna biru membuatkan semua yang berada di mahkamah tidak senang duduk untuk mengetahui pendedahan isu-isu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri ini.

Antara isu yang dikupas ialah surat berhubung hadiah ASD$100 juta daripada Kerabat Diraja Arab Saudi kepada bekas Ahli Parlimen ini.

“BNM seakan ‘dibiarkan dalam kegelapan’ berhubung pemindahan ASD$700 juta ke dalam syarikat swasta milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Pada 16 Januari 2015, BNM juga telah menulis surat kepada Najib berhubung kebimbangan terhadap 1MDB dan bagi mendokumentasikan potensi implikasi yang signifikan terhadap kedudukan fiskal kerajaan,” kata saksi pendakwaan ke-46 ini.

Zeti yang menjawat jawatan Gabenor BNM selama 16 tahun berkata, BNM telah menerima pendedahan secara sulit pada 13 Mac 2015, melibatkan entiti asing yang telah memindahkan sejumlah besar dana kepada entiti yang memberi keuntungan kepada Jho Low.

Susulan itu, bagi mendedahkan maklumat tersebut, beliau berkata, pertemuan dengan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ketika itu) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dibuat masing-masing pada 19 Mac dan 21 April 2015.

Pendedahan itu katanya, turut menyentuh isu bahawa Jho Low adalah pemilik yang mempunyai kepentingan dalam akaun GSL yang menerima ASD$700 juta daripada 1MDB pada 30 September 2009.

Pada 9 Jun 2015, beliau berkata, Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail hadir dalam mesyuarat yang turut dihadiri Abu Kassim, bagi membincangkan siasatan kes mengenai 1MDB.

Bagaimanapun, pada 27 Julai tahun sama, pasukan itu ditamatkan perkhidmatannya apabila khidmat Abdul Gani selaku AG ditamatkan.

Gabenor wanita pertama BNM ini berkata, pada 13 Ogos tahun itu, BNM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanan 1MDB.

“Entiti dan pegawainya didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) kerana memberikan maklumat palsu kepada BNM dalam permohonan 1MDB untuk kebenaran membuat pembayaran di luar Malaysia.

"Walaupun semua bukti direkodkan oleh BNM namun AGC ketika itu, atas sebab yang tidak diketahui, memutuskan bahawa kertas siasatan yang dikemukakan oleh BNM akan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut pada 11 September tahun sama," katanya.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan Zeti menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.