Peter Anthony tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter Anthony (kiri) kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sembilan tahun lepas.- Foto Bernama.
Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter Anthony (kiri) kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sembilan tahun lepas.- Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony memfailkan rayuan di Rayuan di sini untuk menggugurkan sabitan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hukuman tiga tahun penjara dan denda RM50,000 terhadapnya.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) ini selaku perayu, memfailkan rayuan pada Rabu, melalui Tetuan Deva & Associates dengan menamakan pasukan pendakwaan sebagai responden.

Menerusi notis rayuan yang diperoleh, Peter, 52, tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Bache pada 18 April lalu.

Minggu lalu, hakim itu telah mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh jatuh hukum dan denda RM50,000 yang dijatuhi oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Mahkamah Sesyen itu turut 15 bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah Tinggi pada Selasa mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan M&E di UMS.

Ahmad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Peter selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi membenarkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Peguam S Devanandan yang mewakili Peter mengesahkan permohonan rayuan tersebut.