Derma kerabat Arab Saudi tak pernah didedah kepada BNM - Zeti

Zeti (kanan) hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi, pada Khamis. - Foto Bernama
Zeti (kanan) hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, surat berhubung hadiah AS$100 juta daripada Kerabat Diraja Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah didedahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Zeti, 76, berkata demikian semasa membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-46 berkata, Najib tidak mengemukakan tiga surat bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 tersebut kepada BNM.

Zeti berkata, bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Group, Cheah Tek Kuang juga tidak pernah menimbulkan isu derma yang bertujuan untuk disalurkan kepada akaun bank bekas Ahli Parlimen Pekan ini.

Beliau yang menjawat jawatan Gabenor BNM selama 16 tahun ini berkata, pada 28 Januari 2011, Tek Kuang memaklumkan bahawa Najib (ketika itu Perdana Menteri) membuka akaun AmIslamic Bank Berhad dan ia akan dirujuk dalam kod untuk ‘Ringgit Operations Monitoring System’ (ROMS).

“Walaupun akaun itu dikodkan sebagai ‘AmPrivate Banking – MR’ untuk ROMS, pembukaan akaun itu adalah mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Ini kerana semua akaun peribadi yang dibuka oleh pemegang akaun mestilah di bawah nama pemegang akaun seperti yang dinyatakan dalam kad pengenalan dan bukan dengan nama lain,” katanya.

Gabenor wanita pertama BNM ini juga berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat memandangkan pertemuan yang dibuat itu adalah singkat.

Bukan itu sahaja, Zeti berkata, Tek Kuang tidak pernah menyentuh isu derma, dalam akaun ini.

Pada enam minggu kemudian, beliau berkata, Tek Kuang mengeluarkan surat bertarikh 22 Mac 2011 kepada Timbalan Gabenor (ketika itu) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Menurutnya, ia dilampirkan bersama kenyataan derma daripada Saud Abdulaziz Majid AL Saud yang bertarikh 1 Februari 2011 kepada Najib.

“Selepas menerima surat daripada Tek Kuang, tiada maklumat lanjut mengenai akaun Najib diterima daripada AmBank.

“Tiada juga maklumat mengenai dana yang telah dimasukkan ke dalam akaun itu, adalah tidak teratur atau mencurigakan,” katanya.

Menerusi dalam surat kepada BNM bertarikh 20 Jun 2013, Zeti berkata, bekas pemimpin UMNO ini kemudiannya memohon kelulusan ‘Foreign Exchange Administration’ (FEA) untuk menukar RM2.26 bilion dalam akaun semasa MYR itu kepada ASD$ bagi tujuan pemulangan/pengiriman keseluruhan jumlah.

Katanya, Najib mengisytiharkan dana itu merupakan derma dan hadiah peribadi namun disebabkan dana itu dimasukkan ke akaun pemegang akaun maka tiada kelulusan diperlukan di bawah peraturan FEA.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan Zeti menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.