BNM seakan ‘dibiarkan dalam kegelapan’ - Zeti

Zeti hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Zeti hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz membuatkan mereka yang berada di Mahkamah Tinggi di sini tidak bangun dari kerusi masing-masing apabila memberi kenyataan mengejutkan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Khamis.

Bekas pegawai bank itu mendedahkan bagaimana BNM seolah-olah 'disembunyikan dalam kegelapan' berhubung pemindahan AS$700 juta daripada akaun dana kekayaan negara ke dalam syarikat swasta dikatakan milik ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika membaca pernyataan saksi setebal 17 muka surat, Zeti yang hadir dengan memakai baju kurung berwarna biru berkata, pada 16 Januari 2015, BNM telah menulis kepada Najib berhubung kebimbangan terhadap 1MDB dan bagi mendokumentasikan potensi implikasi yang signifikan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.

Zeti berkata, BNM telah menerima pendedahan secara sulit pada 13 Mac 2015, melibatkan entiti asing yang telah memindahkan sejumlah besar dana kepada entiti yang memberi keuntungan kepada Jho Low.

Susulan itu, bagi mendedahkan maklumat tersebut, beliau yang hadir ke mahkamah selaku saksi pendakwaan ke-46, berkata, pertemuan dengan Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ketika itu), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dibuat masing-masing pada 19 Mac dan 21 April 2015.

Pendedahan itu, katanya, turut menyentuh isu bahawa Jho Low merupakan pemilik yang mempunyai kepentingan dalam akaun yang menerima AS$700 juta daripada 1MDB pada 30 September 2009.

Pada 9 Jun 2015, beliau berkata, Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail hadir dalam mesyuarat yang turut dihadiri Abu Kassim, bagi membincangkan siasatan kes mengenai 1MDB.

Bagaimanapun, pada 27 Julai tahun sama, pasukan itu ditamatkan perkhidmatannya apabila khidmat Abdul Gani selaku AG ditamatkan.

Zeti berkata, pada 13 Ogos tahun itu, BNM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanan 1MDB.

ARTIKEL BERKAITAN Zeti bongkar isu 1MDB babit Najib

Derma kerabat Arab Saudi tak pernah didedah kepada BNM - Zeti

Skandal 1MDB diklasifikasi NFA oleh Peguam Negara - Zeti