Skandal 1MDB diklasifikasi NFA oleh Peguam Negara - Zeti

Zeti (kanan) hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi pada Khamis. - Foto Bernama
Zeti (kanan) hadir bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu Bank Negara Malaysia (BNM) menyerahkan Kertas Siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk pegawai kanannya.

Bekas Gabenor BNM, Tan Seri Dr Zeti Akhtar Azizi, 76, berkata, walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan oleh BNM, Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) atas sebab yang tidak diketahui pada 11 September 2015 memutuskan IP itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata, IP dikemukakan selepas 1MDB dan pegawainya didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) kerana memberikan maklumat palsu kepada BNM dalam permohonan kebenaran syarikat pelaburan strategik negara itu membuat pembayaran di luar Malaysia.

"Pada sidang media BNM mengenai KDNK suku kedua, pada 13 Ogos 2015, disebutkan bahawa BNM telah menyelesaikan penyiasatannya ke atas 1MDB, berkaitan bidang yang berada dalam bidang kuasa dan perundangannya. Mengenai akaun Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri), BNM telah memberikan semua maklumat yang berkaitan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang masing-masing,” katanya.

Zeti seterusnya berkata, BNM menulis semula kepada AGC pada 1 Oktober 2015, untuk mempertimbangkan semula keputusan (NFA) dan seterusnya menekankan maklumat penting tertinggal oleh 1MDB dalam permohonannya untuk kebenaran Pentadbiran Pertukaran Mata Wang Asiang (FEA).

"1MDB bukan sahaja gagal memberikan maklumat penuh dan lengkap dalam permohonannya untuk kebenaran FEA tetapi telah memberikan maklumat palsu. AGC, bagaimanapun, tidak menjawab rayuan BNM,” katanya.

Zeti berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, pada perbicaraan Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana milik 1MDB.

Katanya, menurut perundangan BNM, pihaknya terus membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB dan mengeluarkan arahan kepada 1MDB untuk menghantar balik ke Malaysia semua dana yang dihantar secara haram dan palsu ke luar negara.

"Ketidakupayaan 1MDB seterusnya membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana menyebabkan kompaun dikenakan ke atas 1MDB...dengan persetujuan AGC, kompaun berjumlah RM15 juta telah dikenakan dan telah dibayar oleh 1MDB pada 25 Mei 2016,” katanya.

Beliau menjelaskan, siasatan BNM terhadap kes itu adalah bagi tujuan membawa ke muka pengadilan pelanggaran undang-undang oleh 1MDB berhubung kiriman wang mereka ke luar negara sepanjang tempoh antara September 2009 dan Mei 2011 dan untuk memelihara integriti fungsi sistem kewangan negara.

Katanya, pada 9 Jun 2015, Peguam Negara (AG) ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail mengadakan mesyuarat Pasukan Petugas 1MDB pertama melibatkan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim dan beliau sendiri bagi membincangkan siasatan SPRM dan BNM mengenai 1MDB.

Zeti berkata pada minggu keempat Jun 2015, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut disertakan dalam mesyuarat Pasukan Petugas itu dengan berperanan menyelaraskan siasatan 1MDB dalam kalangan tiga agensi iaitu PDRM, SPRM dan BNM.

Bagaimanapun, katanya, pada 27 Julai 2015, Pasukan Petugas itu dibubarkan apabila perkhidmatan Abdul Gani tamat.

Beliau juga berkata, bahawa tiada mesyuarat Pasukan Petugas diadakan oleh Mohamed Apandi selepas beliau mengambil alih sebagai Peguam Negara baharu.

Menurutnya, Abu Kassim pada 5 Ogos 2015, mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dinasihatkan oleh Peguam Negara baharu (Mohamed Apandi) bahawa Pasukan Petugas 1MDB tidak diperlukan dan setiap agensi penyiasat boleh menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang masing-masing.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Ogos ini. - Bernama