Gelombang tukar kerajaan jika PN menang di 6 negeri - Azmin

Mohamed Azmin ketika ditemu bual dalam program Keluar Sekejap dikelolakan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan pada Selasa.
Mohamed Azmin ketika ditemu bual dalam program Keluar Sekejap dikelolakan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Gerakan besar-besaran menukar kerajaan persekutuan boleh berlaku jika sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, petunjuk itu bersandarkan beberapa senario termasuk keyakinan yang mula pudar oleh rakan politik Kerajaan Perpaduan khususnya di Borneo terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemungkinan besar (boleh bertukar kerajaan). Sekiranya kita berjaya mengekalkan tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah serta menawan tiga negeri yang lain, pastinya ini merupakan suara rakyat terhadap Putrajaya.

"Bahawa mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada PN untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan mereka memberi petunjuk keyakinan itu kepada PN. Sebab itu mesej itu harus diberikan perhatian serius Putrajaya.

"Saya percaya rakan kongsi dalam kerajaan sedang memantau keadaan khususnya di Borneo. Mereka mahu rakan yang kuat, yang diterima rakyat. Sekiranya mereka melihat Anwar dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mendapat sokongan rakyat, bagaimana mereka ingin mengekalkan perkongsian kuasa di peringkat persekutuan. Ini yang sedang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Keluar Sekejap dikelolakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan pada Selasa.

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor berkata, ketika ini, parti politik di Sabah dan Sarawak memerlukan satu bentuk perkongsian kuasa yang kukuh serta mendapat dukungan kuat daripada rakyat.

"Bila melihat rakan mereka di Semenanjung lemah dan tak dapat dukungan rakyat, saya melihat rakan di Borneo mahu melihat satu perkongsian yang kuat dan dapat dukungan kuat.

Artikel Berkaitan:

"Memang dari segi perundangan tidak ada peruntukan kalau kita menang (PRN) di negeri, kita boleh merubah (kerajaan) di persekutuan, tetapi ini soal pertimbangan politik yang harus diambil kira rakan di Borneo, mereka mahukan rakan yang kuat," katanya.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang kali ini menjelaskan, dalam situasi politik semasa, ia sukar dibaca dan diramal, terutama apa yang akan berlaku selepas ini.

"Kita tak boleh baca situasi politik. Jika berlaku gelombang, kita tak boleh melihat apa kemungkinannya namun sebagai rakan dalam kerajaan sedia ada, mereka memantau secara dekat.

"Kalau saya jadi rakan dalam sebuah syarikat pun, saya mahu rakan kongsi saya yang untung, kuat supaya syarikat boleh lebih maju," ujarnya.

Jelasnya, PRN bukan soal merampas harta atau takhta tetapi bertanggungjawab untuk menguruskan sebuah kerajaan yang jujur, ikhlas dan tidak berbohong kepada rakyat.

Bulan lalu, Anwar memberi jaminan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menyokong dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan selepas PRN Sabtu ini.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!