Boleh tukar kerajaan walau terikat Akta Lompat Parti - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun terikat dengan Akta Lompat Parti, namun tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana ada proses undang-undang yang membolehkan ia berlaku.

"Begitu juga dengan kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut perlembagaan yang boleh dibuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Sendayan, di sini pada Ahad.

Pengerusi PN Negeri Sembilan itu turut menyatakan keyakinan potensi gabungan terbabit untuk menang di Negeri Sembilan amat tinggi, malah mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

Ujarnya, sokongan diterima bukan saja daripada pengundi Melayu namun sokongan kaum Cina dan India juga amat memberangsangkan.

"Ia agak berbeza daripada kajian sikap yang kita lakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu di Negeri Sembilan yang mana kali ini kita mendapati orang ramai semakin selesa dan bagi ruang kepada PN.

"Reaksi positif dan perkembangan inilah membuatkan jentera kami bersemangat kali ini," katanya.

Malah katanya, jika peratusan keluar mengundi tinggi, potensi untuk PN menubuhkan kerajaan juga cerah.

Sementara itu, berkenaan dakwaan yang wujud elemen 'jual kerusi' dalam pemilihan calon PN di Negeri Sembilan, beliau berkata, sekiranya benar ia berlaku, gabungan itu tidak akan berkempen dalam keadaan ala kadar seperti sekarang.

"Kalau saya boleh jual kerusi, kita tiada masalah duit, tiada masalah nak berkempen dan sebagainya.

"Malah bebanan kepada pemimpin dalam menghadapi PRN ini amat getir dan besar. Pada mereka yang buat dakwaan fitnah bahawa saya telah jual kerusi, saya ampunkan mereka supaya tak perlu cari saya di Padang Mahsyar nanti," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin mendakwa wujud elemen jual kerusi terbabit selepas mendapati senarai calon yang diumumkan gabungan itu sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.