Dua beradik yatim piatu terima faedah Perkeso

Rosmasita (kiri) bersama Farihah (dua dari kiri) melawat waris keluarga mangsa kemalangan maut di Felda Belara pada Isnin.
Rosmasita (kiri) bersama Farihah (dua dari kiri) melawat waris keluarga mangsa kemalangan maut di Felda Belara pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nasib dua beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan maut pada 21 April lalu terbela selepas menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Isnin.

Ketua Cawangan Sosial Sinergi Skuad Prihatin, Bahagian Sinergi Perkeso, Rosmasita Mohamed berkata, Che Ku Nur Batrisya Che Ku Yusof Ali, 18, dan adiknya, Che Ku Furqan Izuddin Che Ku Yusof Ali, 11, menerima faedah pencen penakat sehingga mereka berumur 21 tahun.

"Hasil semakan mendapati arwah bapa mereka, Che Ku Yusof Ali Che Ku Embong, 52, mempunyai cukup syarat caruman bagi melayakkan waris menuntut faedah pencen penakat.

"Selain itu, arwah ibu mereka pula iaitu Siti Faridaf Ahmad, 46, ialah kakitangan kerajaan yang bertugas di Klinik Kesihatan Seri Bandi Kemaman.

"Penyampaian faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 akan diserahkan kepada waris adik beradik tersebut iaitu ibu saudara mereka, Fatimah Ahmad, 50, selaku penjaga.

"Kedua beradik yatim piatu itu akan menerima faedah pencen penakat berbentuk pencen bulanan berjumlah RM1,109.99 sebulan ke akaun penjaga sehingga mereka berumur 21 tahun selain bukan lagi di bawah tanggungan atau hingga ijazah yang pertama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian faedah Perkeso yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin di Felda Belara di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rosmasita berkata, pihaknya juga telah mengiktiraf Che Ku Furqan Izuddin sebagai anak angkat Perkeso yang ke-13 bagi memastikan kebajikan selain pembelajaran masa hadapan serta kelangsungan hidupnya dijaga.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 2,889 kes di seluruh negara telah berjaya diproses bermula awal Januari sehingga kini.

"Bagi statistik di Terengganu, sebanyak 93 kes telah berjaya diproses dan selesai dalam tempoh ditetapkan," ujarnya.

Sementara itu, Fatimah melahirkan rasa syukur atas pemberian faedah berkenaan kerana dapat meringankan beban mereka sekeluarga sekali gus wang tersebut boleh digunakan untuk membiayai kos perubatan Che Ku Nur Batrisya yang kini masih menerima rawatan susulan di hospital.

"Alhamdulillah, terima kasih pada Perkeso atas keprihatinan kami sekeluarga. Duit ini dapat digunakan untuk membiayai kos pembelajaran dan perubatan anak saudara saya.

"Che Ku Nur Batrisya yang turut terlibat sama dalam kemalangan mengalami kecederaan serius bahagian pinggang ke bawah serta kedua belah tangan.

"Dia menerima rawatan lanjut lebih dua bulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kini masih mendapatkan rawatan susulan selain pemulihan di hospital yang sama," katanya.

Pada 21 April lalu, sepasang suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Sungai Ikan, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Che Ku Yusof Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Che Ku Nur Batrisya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan akibat kemalangan tersebut.