Kronologi kes Sanusi atas tuduhan menghasut

Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas selesai menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. - Foto Bernama
Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas selesai menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan, Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

11 Julai 2023 - Sanusi dalam ceramah politiknya di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam mengeluarkan kenyataan yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

13 Julai 2023 - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kesal dan mengecam kenyataan Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam urusan pemilihan Menteri Besar.

13 Julai 2023 - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes berkaitan dengan isu 3R yang sering dimainkan semasa tempoh kempen pilihan raya.

13 Julai 2023 - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM membuka kertas siasatan terhadap Sanusi mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R dalam ceramah politiknya.

13 Julai 2023 - Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli menggesa PN memohon maaf, ekoran kenyataan Sanusi, yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.

14 Julai 2023 - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muhammad Sanusi perlu bersedia berdepan kesan dan akibat daripada kelancangan ucapan beliau yang terus menyentuh isu 3R.

14 Julai 2023 - Lima ahli Dewan Diraja Selangor iaitu Tan Sri Ambrin Buang, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Datuk Emran Kadir membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi diraja Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.

15 Julai 2023 - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai 'akhlak politik' walaupun berbeza pendapat.

15 Julai 2023 -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, membangkitkan isu memecah belah, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

16 Julai 2023 - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menempelak dakwaan Sanusi bahawa kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikToknya berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun pengguna aplikasi media sosial TikTok.

17 Julai 2023 - Sultan Selangor dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Selangor Royal Office bertitah perkara berhubung kenyataan Sanusi yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai.

18 Julai 2023 - Pegawai kepada Sanusi, iaitu Helmi Khalid menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya memaklumkan Menteri Besar Kedah itu ditahan polis di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara awal pagi tadi.

Menurut catatan kronologi dalam video yang dikongsikan itu, pintu bilik Sanusi diketuk oleh anggota polis pada 2.30 pagi sebelum Menteri Besar Kedah berkenaan dibawa keluar dari bilik penginapannya pada 3 pagi.

Sanusi kemudian diarah menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948.

18 Julai 2023 - Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan Sanusi pada awal pagi tadi adalah untuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Muda, PSM tak setuju Akta Hasutan terhadap Sanusi

Kes Sanusi boleh timbulkan kebencian terhadap institusi diraja

MB Kedah tidak jawab panggilan telefon - KPN

Laungan takbir, 'hidup Sanusi' bergema di Kedah

Kes Sanusi berkait kenyataan menyentuh Sultan Selangor - Amirudin