[VIDEO] MB Kedah tidak jawab panggilan telefon - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan tidak menjawab panggilan telefon daripada pihak polis sejak petang Isnin untuk urusan mengenai kes pertuduhan di mahkamah pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Kontinjen Kedah yang turut membantu gagal mengesan Muhammad Sanusi di negeri berkenaan.

"Selain Muhammad Sanusi, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politiknya untuk proses pemakluman namun panggilan itu turut ditolak.

"Kita membuat keputusan menahan beliau (Muhammad Sanusi) pada jam 3 pagi, selepas kertas siasatan diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, lewat petang semalam," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, pada Selasa.

Razarudin berkata, tindakan menahan Muhammad Sanusi juga dibuat disebabkan siasatan terhadap Akta Hasutan 1948 ini mempunyai kecenderungan menghasut dan mendatangkan kebencian serta ketidaksetiaan kepada Institusi Diraja.

"Sifat kes ini iaitu berkaitan menghina dan membangkitkan kemarahan disebabkan berkaitan Institusi Diraja dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 juga mempunyai kecenderungan untuk mendatangkan kebencian dan penghinaan dan membangkitkan ketidaksetiaan dan terkait dengan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor, maka tindakan menahannya adalah langkah yang wajar mengikut peruntukan undang-undang.

"Secara keseluruhan sebanyak 58 laporan polis dibuat di seluruh negara termasuk oleh Ahli Dewan Diraja Selangor," katanya.

Muhammad Sanusi ditahan pada jam 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, di sini, pagi tadi, oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Bahagian Gengsterism (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pertuduhan dua kes di bawah Akta Hasutan.

Muhammad Sanusi turut bakal berhadapan dengan satu lagi kes yang dilaporkan pada 14 Julai lalu.

Namun Razarudin ketika ditanya mengenai perincian kes berkenaan hanya mengesahkan ada laporan yang dibuat bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Pada Selasa, media melaporkan Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Selayang atas dua pertuduhan menghasut dengan mengaitkan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah, minggu lalu.

Muhammad Sanusi, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah