[VIDEO] Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

Awang Hashim
Awang Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa disifatkan sebagai pengajaran untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang juga Ahli Jawatankuasa Pas pusat berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada insiden itu.

"Itu terlajak, itu perkara biasa dia sudah minta maaf... benda dah terlajak tapi kita ada proses undang-undang mungkin ini pengajaran yang boleh dipelajari di masa hadapan... untuk semua. Bukan (hanya) untuk Sanusi.

"... itu yang kita katakan tadi kita serah kepada proses undang-undang yang hari ni sedang bermula, tak ada masalah apa, cuma kita nak bagi sokongan solidariti di atas pentas politik yang sedang kita hadapi Pilihan Raya di enam negeri ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa

Ditanya sama ada tindakan perundangan ini akan menjejaskan kelayakan untuk bertanding dalam PRN, Awang berkata, langkah seterusnya itu diserahkan mengikut prosedur perundangan.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keadaan di sekitar pekarangan mahkamah tenang dan terkawal.

Pihak polis termasuk unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal ketat pekarangan mahkamah dengan tidak membenarkan penyokong untuk masuk ke dalam kawasan mahkamah.

Puluhan pengamal media juga kelihatan 'berkampung' di sini seawal pukul 7 pagi bagi membuat liputan kes berkenaan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah