[VIDEO] 'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

A
A
A

SELAYANG -[DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menghasut dengan mengaitkan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah, minggu lalu.

Sanusi, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

"Faham, tidak mengaku salah, Yang Arif," kata Sanusi dalam keadaan tenang.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Ia juga menyentuh perkataan yang mempunyai kecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja dan mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, di sini pada jam 11 malam, 11 Julai lalu.

Setiap pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta sama dengan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan dua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Manoj Kurup serta Datuk Masri Mohd Daud.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri ini pula diwakili peguamnya, Datuk Shaharuddin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Semasa prosiding, Ahmad Terrirudin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon perintah larangan bersuara agar Sanusi tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini.

Mendengar cadangan itu, Shaharudin berkata, pihak pembelaan tidak membantah cadangan jaminan berkenaan.

“Kami menerima jumlah itu, namun saya ingin menghujahkan bahawa anak guam merupakan ketua 'caretaker' kerajaan Kedah dan beliau mengetuai Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Nor Rajiah dan Osman Affendi kemudiannya membenarkan Sanusi diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan dua penjamin dan melarang tertuduh mengeluarkan komen mengenai kes ini.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, semasa prosiding, peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon kepada kedua-dua hakim supaya membenarkannya menjadi peguam pemerhati dengan alasan kes tersebut berkepentingan awam.

Permohonan Asheeq tidak dibantah oleh pasukan pendakwaan.

Bagaimanapun, Shaharudin berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh peguam itu mengenai hasratnya untuk menjadi peguam pemerhati.

"Namun saya sedikit terkilan apabila beliau menyentuh isu kepentingan awam, sedangkan ia jelas merupakan kepentingan PKR.

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan hakim untuk membuat keputusan," kata Shaharudin.

Nor Rajiah membenarkan permohonan Asheeq Ali untuk menjadi peguam pemerhati sehingga kes selesai, namun seorang lagi hakim, Osman Affendi tidak membenarkan permohonan peguam itu selain mengarahkannya mengemukakan permohonan secara bertulis.

Turut hadir memberi sokongan dalam prosiding ini adalah Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad; Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim

Sebelum ini, Sanusi dalam ucapannya ketika ceramah di Selangor dikatakan telah mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besar.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan Sanusi dan mendesak pemimpin Pas itu disiasat dan diambil tindakan tegas.

Polis kemudian membuka kertas siasatan pada Rabu lalu sebelum keterangan Sanusi direkod dua hari kemudian.

Sementara itu, kandungan ucapan ceramah Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mendapat perhatian baginda.

Pada Isnin, baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan di sini.

Menerusi kemas kini di Selangor Royal Office, pertemuan tersebut diadakan secara berasingan bagi membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan Sanusi.

Nama pemimpin ini hangat diperkatakan susulan kandungan ceramah yang didakwa meremehkan baginda berkenaan urusan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ucapannya itu telah dimuat naik di banyak saluran media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook serta Twitter.

Bagaimanapun, Sanusi mendakwa, ucapannya pada hari tersebut diputar belit oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah