Hubungan Indonesia-Singapura kembali tegang

JAKARTA – Hubungan Indonesia dan Singapura kembali tegang susulan beberapa pertikaian membabitkan bekalan gas, jerebu rentas sempadan dan perdagangan, ketika kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2027.
Ketegangan meningkat selepas Indonesia mengurangkan eksport gas asli ke Singapura, selain timbul ketidakpastian mengenai rancangan eksport elektrik dan dakwaan berkaitan perdagangan komoditi.
Bekas Duta Indonesia ke Singapura, Suryopratomo berkata, hubungan kedua-dua negara yang terjalin hampir enam dekad kini diuji akibat kenyataan terbuka yang dibuat tanpa komunikasi awal.
Menurutnya, pendekatan tersebut mencetuskan salah faham walaupun kedua-dua negara mempunyai kepentingan ekonomi yang saling berkait.
Beliau mengingatkan bahawa Presiden Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum ini bersetuju melaksanakan 26 inisiatif kerjasama meliputi pelaburan, pertahanan, tenaga dan ekonomi digital.
Pensyarah Universiti Brawijaya, Aswin Ariyanto Azis pula memberi amaran bahawa retorik bermusuhan boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta hubungan diplomatik.
Menurutnya, pengurangan eksport gas lebih berkait dengan usaha Indonesia mengutamakan keperluan domestik, bukannya semestinya tindakan balas terhadap Singapura.
Sementara itu, penyelidik Universiti Teknologi Nanyang, Virdika Rizky Utama menegaskan Indonesia masih bergantung kepada Singapura dalam sektor penting termasuk bekalan petroleum bertapis.
Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan turut mengunjungi Jakarta bagi meredakan ketegangan melalui perbincangan diplomatik.
Pemerhati berpandangan pertikaian berpanjangan berisiko menjejaskan kerjasama serantau sekiranya kedua-dua negara gagal mengurus perbezaan secara berhemah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

