Sindiket minyak masak subsidi kaut untung

SHAH ALAM – Pihak berkuasa kini mengesan kewujudan sindiket menyeleweng minyak masak bersubsidi dengan cara membelinya secara pukal sebelum dijual semula sebagai minyak masak terpakai.
Itu antara modus operandi dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, berdasarkan statistik dan serbuan, wujud kegiatan menjual minyak masak bersubsidi kepada syarikat minyak masak terpakai (UCO).
“Minyak masak paket baharu dikumpulkan dalam tangki seperti intermediate bulk container (IBC) sebelum dicampurkan dengan minyak masak terpakai dan dijual kepada pihak industri.

“Minyak masak terpakai ini dipercayai mempunyai nilai sekitar RM3 hingga RM3.50 setiap kilogram (kg).
“Sindiket mengaut untung mudah melalui minyak masak paket bersubsidi dengan harga RM2.50/kg,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat KPDN Selangor, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, pihak yang terlibat dikesan mendapatkan bekalan melalui saluran yang mempunyai lesen atau kuota, tetapi bekalan tersebut tidak dipasarkan mengikut saluran ditetapkan.
Sebaliknya, beliau berkata, bekalan diselewengkan ke pasaran gelap termasuk ke kawasan yang mempunyai permintaan tinggi dan menawarkan keuntungan lebih besar.
“Kegiatan ini kebiasaannya beroperasi di premis seperti gudang atau stor haram disewa bagi menyukarkan kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Hanif turut mendedahkan modus operandi lain iaitu minyak masak paket dipindahkan atau dibungkus semula (repack) ke dalam bekas yang lebih besar antaranya botol atau bekas berkapasiti dua, tiga, lima dan 17kg yang tidak menerima subsidi.

Dedahnya, perbezaan harga yang besar berbanding minyak masak tanpa subsidi menarik minat sindiket untuk minyak masak bersubsidi bagi tujuan penyelewengan.
“Bekalan minyak masak bersubsidi diperoleh daripada sumber bekalan sah sebelum dipindahkan, dibungkus semula dan kemudiannya dijual pada harga tanpa subsidi,” ujarnya.
Taktik lain dikesan ialah penyelewengan melalui kuota di peringkat rantaian bekalan.
Menurut beliau, apa yang menjadi perhatian KPDN ialah penyelewengan bukan sahaja boleh berlaku di peringkat akhir, tetapi melibatkan beberapa peringkat dalam rantaian bekalan.
“Berdasarkan kes dikesan, pihak terlibat lazimnya mempunyai kaitan dengan rantaian pengedaran minyak masak sama ada di peringkat pembekal, pemborong, peruncit atau orang tengah.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan semua syarikat berlesen terlibat kerana setiap kes perlu dibuktikan melalui risikan, pemeriksaan dan siasatan,” ujarnya.
Katanya, berdasarkan statistik kes direkodkan KPDN Selangor, terdapat kes baharu melibatkan suspek sama sebelum ini.
“Antara faktor mendorong jenayah ini ialah keuntungan tinggi daripada perbezaan harga minyak masak bersubsidi dengan harga pasaran.
“Kita melihat perkara ini dengan serius kerana minyak masak diseleweng bukan sahaja memberi keuntungan kepada pihak tidak bertanggungjawab, tetapi pada masa sama menjejaskan hak rakyat yang sepatutnya mendapat manfaat,” ujarnya.
Laksana eCOSS
Muhamad Hanif berkata, Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dibangunkan KPDN telah dilaksanakan bermula April tahun lalu di seluruh negara.
Jelasnya, antara langkah diambil ialah memastikan penggunaan aplikasi eCOSS di peringkat rantaian bekalan bagi membolehkan pergerakan bekalan direkodkan dan dipantau.
“eCOSS adalah satu sistem untuk merekodkan dan memantau urus niaga minyak masak bersubsidi secara elektronik.
“Melalui sistem ini, KPDN dapat melihat rekod transaksi dan pergerakan bekalan serta data itu membantu kita mengenal pasti sekiranya terdapat corak pembelian atau transaksi luar biasa.
“Sekiranya didapati ada perkara mencurigakan, maklumat daripada eCOSS ini boleh digunakan sebagai salah satu sumber risikan dan tindakan penguatkuasaan,” ujarnya.
Kata beliau, di peringkat syarikat pembungkus minyak masak, KPDN Selangor melaksanakan pengauditan secara berkala bagi memastikan tuntutan melalui eCOSS adalah selaras dengan kuota.
“Di peringkat pemborong, pemeriksaan mengejut dilaksanakan manakala di peringkat peruncit, pemantauan berkaitan pembelian dan penerimaan minyak masak bersubsidi menggunakan eCOSS dilaksanakan,” jelasnya.
Tegasnya, sebarang kegiatan penyelewengan sentiasa berada dalam radar dan perhatian KPDN.
“Unit risikan dan operasi akan terus digerakkan secara berterusan bagi mendapatkan maklumat dan mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
