Gara-gara Parcel Scam, peniaga wanita rugi RM12,800

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga wanita kerugian RM12,800 selepas ditipu sindiket 'Parcel Scam' apabila berkenalan dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mohammed Ibrahim' kononnya dari London.

Kejadian bermula selepas wanita berusia 30 tahun dari Marang itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor antarabangsa yang mahu berkawan dengannya, kira-kira jam 5 pagi, pada 21 April lalu.

Menurut sumber, tanpa berfikir panjang, mangsa terus bersetuju sebelum suspek memberitahu mahu menghantar hadiah sempena perkenalan mereka dan meminta alamat rumah dari mangsa, pada 28 April lalu.

Jelas sumber, keesokan harinya kira-kira jam 12.37 pagi, mangsa menerima lagi mesej di WhatsApp daripada suspek yang menunjukkan slip penghantaran dan memaklumkan hadiah dijanjikan sudah dihantar melalui khidmat sebuah syarikat pos laju.

"Sehari kemudian, kira-kira jam 9 pagi, pada 30 April, semasa berada di kedainya, mangsa menerima panggilan telefon seorang wanita memperkenalkan diri sebagai 'Aisyah'.

"Selain memperkenalkan diri kakitangan syarikat pos laju, wanita itu memaklumkan barang yang dihantar dari London sudah sampai di syarikat berkenaan cawangan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Jika mangsa ingin menebus barang tersebut, dia perlu membuat bayaran cukai berjumlah RM4,200 kerana barang dikirim didapati melebihi berat sebelum memberikan nombor akaun sebuah bank" katanya.

Kata sumber, teruja untuk mendapatkan barang tersebut, mangsa tanpa berfikir panjang terus memasukkan wang diminta ke dalam akaun diberikan pada hari sama, kira-kira jam 12.46 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

"Selepas urusan transaksi selesai, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyuruh memasukkan wang lagi berjumlah RM8,600 dengan alasan barang yang dikirimnya itu merupakan wang yang melebihi had.

"Sekali lagi mangsa terus bersetuju dan melakukan dua kali transaksi ke dalam akaun diberikan suspek, kira-kira jam 5.50 petang, hari sama," katanya.

Kata sumber lagi, keesokan harinya, suspek menghubungi mangsa sebelum memaklumkan hadiah yang hendak dikirimkan tidak dapat dihantar kerana wang yang hendak dihantar terlalu banyak.

"Mangsa yang sedar dirinya sudah tertipu dengan sindiket penipuan terus membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.