Peniaga rugi RM56,880 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Seorang peniaga kerugiaan RM56,880 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada Isnin. - foto hiasan 123RF, gambar kecil: Mohd Sohaimi
Seorang peniaga kerugiaan RM56,880 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada Isnin. - foto hiasan 123RF, gambar kecil: Mohd Sohaimi
A
A
A

SERI ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga kerugian RM56,880 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu mula terjerat dengan penipuan berkenaan selepas menerima pesanan WhatsApp kerana mahu menambah modal mengembangkan perniagaan.

"Mangsa kemudiannya diberikan 'link' pinjaman secara atas talian dan diminta berhubung dengan seorang lelaki bagi proses selanjutnya.

"Selepas itu mangsa diminta membuat pembayaran terlebih dahulu disebabkan skor kreadit yang tidak layak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Sohaimi memberitahu mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke dalam lima akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM56,880, namun pinjaman masih tidak diluluskan.

"Mangsa mula curiga dan merasakan dirinya ditipu apabila masih diminta membuat pembayaran untuk meningkatkan skor kredit sebelum membuat satu laporan polis pada Rabu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun dan tindakan akan diambil jika pemilik akaun terlibat," katanya.