PH, BN perlu kukuhkan gabungan hadapi PRN

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) bersama sebahagian pimpinan Keadilan Kedah ketika Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di perkarangan Pejabat Keadilan Kedah, di sini pada Sabtu.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) bersama sebahagian pimpinan Keadilan Kedah ketika Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di perkarangan Pejabat Keadilan Kedah, di sini pada Sabtu.
A
A
A

ALOR STAR - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu merapatkan perbezaan dan mengukuhkan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua gabungan parti itu tidak boleh menoleh ke belakang untuk melihat sengketa lama politik mereka.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, gabungan parti ini dalam misi untuk memperkukuh kerjasama baharu bagi mendepani PRN nanti dengan menunjukkan mereka berada atas platform sama.

“Ini kali pertama dalam sejarah, BN dan PH akan bekerjasama dalam pilihan raya. Untuk itu, pendekatan kita adalah merapatkan perbezaan, mengukuhkan gabungan.

"Sekarang, kami telah menggerakkan kerja untuk menunjukkan bahawa kami bergerak di atas platform yang sama supaya tidak wujud kekeliruan, sekali gus menolak sama sekali satu atau dua kenyataan daripada mana-mana pemimpin dalam PH yang bercanggah dengan rangka itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di pekarangan Pejabat Keadilan Kedah, di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin PH dan BN perlu melupakan perbezaan lama mereka bagi menghadapi PRN nanti.

“Dalam tempoh 24 jam lepas, ada pemimpin yang membuat kenyataan yang tidak kondusif untuk kita, jadi kami mahu dukung semangat baharu dengan merapatkan perbezaan dan mengukuhkan gabungan

“Kami mendukung semangat baharu bagi menolak sengketa lama. Kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Kita akan bekerja ke arah menilai kelemahan, membina kekuatan dan saling membantu. Ini semangat yang betul kita ingin bawa," katanya.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau 'pakatan korup'.

Bekas Setiausaha Publisiti DAP mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagaimanapun, kenyataan itu dibalas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini dan Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau yakin parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu merampas Kedah daripada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

ARTIKEL BERKAITAN:

BN, Bersatu 'pakatan korup' - Tony Pua

'BN sedia jadi pembangkang, DAP boleh tinggalkan UMNO' - Isham

'Tony Pua, sila cermin diri' - Dr Akmal

Kenyataan Tony Pua bukan pendirian DAP - Anthony Loke