UMNO Tanjong Karang sedia terima semula Noh Omar

Sulaiman (kiri), Noh (kanan).
Sulaiman (kiri), Noh (kanan).
A
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO Bahagian Tanjong Karang mengalu-alukan penyertaan semula mana-mana individu termasuk bekas Ketua UMNO Bahagiannya, Tan Sri Noh Omar, namun menegaskan ia perlu dibuat tanpa sebarang syarat.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abd Razak berkata, pihaknya tidak mencampuri keputusan peribadi Noh yang melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada beliau untuk menentukan hala tuju politiknya.

Bagaimanapun, ujar beliau, sebarang penyertaan semula perlu melalui proses ditetapkan termasuk penelitian jawatankuasa khas yang ditubuhkan parti.

"Kita di Tanjong Karang menghormati keputusan Tan Sri Noh kerana itu hak beliau untuk mengambil apa-apa keputusan politik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Ibu Tunggal dan Asnaf Program Sentuhan Kasih Di Ambang Ramadan di Galeri Tanjong Karang Utara, Jalan Sungai Kajang Tanjong Karang di sini pada Selasa.

Sulaiman memberitahu, pendirian itu selaras dengan gagasan 'Rumah Bangsa' yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.

Menurutnya, konsep itu membuka ruang seluas-luasnya kepada orang Melayu termasuk mereka yang pernah dipecat, dikenakan tindakan disiplin, meninggalkan parti atau belum pernah menjadi ahli untuk kembali memperkukuh perjuangan.

"Presiden sudah sebut sebelum ini konsep ‘Rumah Bangsa’ dibuka luas kepada semua orang Melayu.

"Jadi sebagai akar umbi, saya secara peribadi mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk daripada Bersatu jika mahu kembali bersama UMNO.

"Tetapi tanpa syarat, itu paling penting. Tidak bolehlah tinggalkan jawatan di parti lama, kemudian mahu jawatan sama dalam UMNO. Proses itu rumit dan perlu melalui penilaian," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman turut menyentuh gagasan 'Payung Besar' yang pernah diketengahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun menurutnya ia tidak menjadi kenyataan dan kini 'Rumah Bangsa' dilihat sebagai alternatif untuk menyatukan orang Melayu di bawah UMNO.

Dalam perkembangan berkaitan, Sulaiman mendedahkan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi pernah beberapa kali menemuinya secara peribadi tahun lalu bagi menyatakan hasrat menyertai semula UMNO.

"Pada saya tiada halangan, tetapi keputusan akhir di peringkat Majlis Tertinggi kerana beliau bukan ahli biasa, sebaliknya Ahli Parlimen.

"Mungkin kekangan berkaitan Akta Lompat Parti menjadi pertimbangan dan sebab itu perkara tersebut tidak diteruskan," tambah beliau.

Tegasnya, sekiranya mahu kembali, penyertaan mestilah atas dasar keikhlasan dan tanpa sebarang tuntutan termasuk soal pencalonan atau jawatan.

"Kalau nak masuk UMNO, masuklah sebagai ahli biasa ikut giliran dan senioriti. Jangan letak syarat untuk bertanding atau pegang jawatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas persiapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau memaklumkan, Tanjong Karang antara kerusi yang berpotensi diberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan keputusan PRU lalu.

Katanya, UMNO Bahagian Tanjong Karang sudah menyiapkan jentera di semua pusat daerah mengundi dan semangat ahli kini kembali pulih selepas melalui fasa sukar apabila tewas di kerusi Parlimen Tanjong Karang serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

"Selepas dua tahun kita bina semula kekuatan parti, mungkin belum sekuat dahulu, tetapi semangat ahli semakin tinggi.

"Prinsip saya jelas, kekuatan UMNO bukan kerana parti lain berpecah atau lemah. UMNO mesti kuat dengan kekuatan sendiri, itu yang akan menentukan masa depan kita," tambah beliau.

Ringkasan AI

  • UMNO Bahagian Tanjong Karang mengalu-alukan penyertaan semula bekas ahli tanpa syarat Penyertaan semula melalui proses jawatankuasa khas Gagasan 'Rumah Bangsa' dilancarkan untuk memperkukuh perjuangan orang Melayu Penyertaan harus atas dasar keikhlasan dan tanpa tuntutan jawatan UMNO Bahagian Tanjong Karang menyiapkan jentera pilihan raya dan meningkatkan semangat ahli

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!