'Tony Pua, sila cermin diri' - Dr Akmal

Kenyataan Dr Akmal di Facebook
Kenyataan Dr Akmal di Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh meminta bekas Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua supaya cermin diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) sebagai 'pakatan korup'.

Dr Muhammad Akmal mendakwa negara melalui zaman gelap semasa ditadbir Pakatan Harapan (PH) sehingga kerajaan tersebut rebah dalam tempoh 22 bulan.

Menurutnya, ketika itu juga Tony Pua dilantik sebagai penasihat kepada Lim Guan Eng.

"Beliau (Tony Pua) yang bertugas di Kementerian Kewangan tidak mampu memacu perkembangan ekonomi negara sehingga keluaran dalam negara kasar (KDNK) jatuh merudum dan hutang negara meningkat secara mendadak.

"Ini belum dikira dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit akibat tindakan dan keceluparan beliau yang memberi gambaran negatif tentang negara.

"Jangan dek kerana tindakan biadab seorang individu seperti Tony Pua akan mengakibatkan keharmonian dan persefahaman yang ingin dibentuk tergendala dan berhenti di tengah jalan," katanya di Facebook.

Pada Jumaat, Tony Pua 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau 'pakatan korup'.

Kenyataan itu disuarakan bekas Setiausaha Publisiti DAP tersebut sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan label sama turut diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Akmal berkata, sebaliknya BN yang didakwa korup itu sebenarnya telah memacu negara dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan selain telah diangkat oleh Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyatakan Malaysia adalah negara ke-23 paling kompetitif di dunia.

Menurutnya, ini termasuk kejayaan BN meningkatkan KDNK sehingga mencatatkan nilai RM1.4 trilion serta usaha memperkasa aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Selain itu, syarikat pelaburan mencecah beratus bilion dan beri pulangan tinggi kepada rakyat serta kerajaan seperti Khazanah Nasional yang naik dari RM32 bilion kepada RM116 bilion manakala rizab tunai Petronas naik dari RM30 bilion kepada RM174 bilion," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya menyelar tindakan biadab Tony Pua yang menggelar BN sebagai 'pakatan korup'dan sekali gus mewujudkan ketidakpuasan hati di kalangan akar umbi UMNO.

Katanya, Tony Pua harus menyedari bahawa tindakan beliau itu sedang merobek keharmonian dan kesepaduan yang sedang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan yang lahir atas dasar toleransi dan semangat nasional.

"Tony Pua harus belajar bahawa kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah aset penting bagi memastikan nasib dan igauan ngeri orang melayu ketika 22 bulan di zaman PH tidak kembali berulang.

"Selain itu, kepakaran dan pengalaman menteri BN ketika ini juga yang menjadi faktor penting kepada kelancaran pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," ulasnya.

Justeru, Dr Muhammad Akmal berkata, pihaknya menuntut DAP agar mengambil tindakan tegas kepada Tony Pua.