Pas tetap mahu terajui PN - Takiyuddin

KOTA BHARU – Pas terus menegaskan hasrat untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) selepas jawatan pengerusi gabungan itu dikosongkan dengan semua parti komponen sudah menyatakan persetujuan awal terhadap cadangan berkenaan.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini terdapat kesepakatan awal parti dalam gabungan supaya Pas memimpin gabungan itu bagi memastikan kestabilan dan hala tuju politik pembangkang terus kukuh.
“Kami setuju terajui PN dengan pengerusi baharu daripada Pas.
“Keputusan muktamad akan ditentukan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN, Ahad ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun sebelum ini terdapat dakwaan kononnya ada parti yang kurang bersetuju Pas memimpin PN, perkembangan mutakhir menunjukkan semua parti anggota kini berada dalam satu pendirian yang sama.
“Dulu mungkin ada cakap-cakap, tetapi setakat ini kami difahamkan semua parti bersetuju untuk satu gerakan bersama.
“Kita tunggu keputusan rasmi mesyuarat,” katanya.
PN ketika ini dianggotai empat parti utama dan keputusan pelantikan pengerusi baharu dibuat berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
Untuk rekod, empat parti utama yang membentuk gabungan PN itu ialah Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Solidariti Tanah Airku.
Ringkasan AI
- Pas berhasrat untuk menerajui Perikatan Nasional selepas jawatan pengerusi gabungan dikosongkan
- Semua parti komponen sudah menyatakan persetujuan awal terhadap cadangan Pas memimpin PN
- Kesepakatan awal dari parti dalam gabungan untuk memastikan kestabilan dan hala tuju politik pembangkang
- Keputusan muktamad tentang pengerusi baru dari Pas akan ditentukan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN
- PN dianggotai empat parti utama termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Solidariti Tanah Airku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

