'BN sedia jadi pembangkang, DAP boleh tinggalkan UMNO' - Isham

Kenyataan Isham di Facebook
Kenyataan Isham di Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil membidas bekas Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai 'pakatan korup'.

Menurutnya, Tony Pua disarankan untuk memberi cadangan kepada pemimpin parti DAP supaya meninggalkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya parti itu dilihat terlalu korup.

"Jika UMNO ini korup dan kotor sangat, tidak perlu tunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Sekarang pun kamu boleh cadang kepada pemimpin parti tinggalkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan.

"Saya 'ok' sahaja jadi pembangkang. Jika tidak kerana titah Yang di-Pertuan Agong dahulu, UMNO dan BN memang bersedia untuk jadi pembangkang selepas PRU15 tempoh hari.

"Kamu sedia jadi pembangkang?" katanya di Facebook pada Jumaat.

Pada Jumaat, Tony Pua 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau 'pakatan korup'.

Kenyataan itu disuarakan bekas Setiausaha Publisiti DAP sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan label sama turut diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Tony Pua juga menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan berkenaan tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Isham berkata beliau terpanggil untuk menjawab isu tersebut apabila ada individu yang memetik nama UMNO selain memburuk-burukkan partinya.

"Saya ingin katakan satu perkara sahaja kepada Tony Pua. Bos kamu di Kementerian Kewangan dahulu pun ada kes korup di mahkamah apabila dia minta gugur dan satu lagi masih dibicara.

"Malah kawan-kawan parti kamu semasa jadi kerajaan 22 bulan dahulu apabila ada dakwaan kes korup terus lompat parti masuk Perikatan Nasional atau Bersatu dan tiba-tiba jadi 'bersih'.

"Oleh itu bahagian mana yang kamu atau parti kamu itu bersih berbanding UMNO yang kamu katakan korup?" soal beliau.