Kenyataan Tony Pua bukan pendirian DAP - Anthony Loke

Kenyataan Anthony Loke di Facebooknya pada Sabtu
Kenyataan Anthony Loke di Facebooknya pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyatakan sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

Menurutnya, ucapan daripada Tony Pua yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan.

"Saya merujuk kepada laporan media yang memetik ucapan oleh Tony Pua dalam satu majlis yang dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.

"Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP.

"Jadi beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti," katanya di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau 'pakatan korup'.

Kenyataan itu disuarakan bekas Setiausaha Publisiti DAP tersebut sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan label sama turut diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Mengulas lanjut, Anthony turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

"Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP," tegasnya.