BN, Bersatu 'pakatan korup' - Tony Pua

Tony Pua
Tony Pua
A
A
A

PETALING JAYA - Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'pakatan korup'.

Beliau juga turut memberikan label sama kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Menurutnya, PH diminta untuk tidak membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selain perlu membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu.

"Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu terhadap rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik selain tidak korup seperti BN.

"Kena ingat Kerajaan Perpaduan sekarang ini mudah retak bila-bila masa. Jadi penting untuk Perdana Menteri dan keseluruhan kerajaan untuk terus berkhidmat.

"Perdana Menteri yang popular bukan untuk Petaling Jaya tetapi pada Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Johor," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Tony Pua berkata, Anwar perlu memberi contoh kepada rakyat Malaysia serta kepada pihak tidak percaya dengan gabungan politik berbilang kaum bahawa parti berbilang kaum tersebut sebenarnya bersih dan tidak korup.

Beliau menjelaskan gabungan itu perlu tunjukkan kepada rakyat supaya mereka tahu bahawa parti berbilang kaum lebih baik jika dibandingkan dengan parti berteraskan Melayu serta parti nasionalis Melayu seperti UMNO dan Bersatu.

"Itu sebenarnya yang kita nak lakukan apabila kita ada peluang lima tahun lagi bermula sekarang untuk tunjukkan perbezaan. Jadi setelah kita berjaya, saya yakin dalam tempoh empat tahun lagi apabila kita adakah PRU, PH akan terima sokongan besar daripada rakyat Malaysia.

"Kemudian, kita akan boleh tubuhkan kerajaan sendiri selain laksanakan reformasi dan perubahan yang kita mahukan di bawah PH demi kebaikan rakyat Malaysia. Itu paling mustahak untuk kita semua," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan meskipun tiada jawatan dalam DAP ketika ini, beliau tidak sesekali akan meninggalkan parti itu.