‘Tahun Kuda tuntut keberanian buat perubahan’ – Hamzah Zainudin

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan peralihan kepada Tahun Kuda sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa menuntut keberanian untuk membuat perubahan dan ‘reset’ serta tidak hanyut dengan nostalgia lalu.
Hamzah berkata, hal ini demikian kerana cabaran semasa dan mendatang mendambakan pembaharuan khususnya dalam konteks kepimpinan.
“Kita mesti berlari dengan strategi yang tersusun dan realistik, arah yang betul, hala tuju yang jelas, dasar yang konsisten serta tadbir urus yang berintegriti.
“Ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar diterjemahkan dalam bentuk kesejahteraan rakyat, bukan hanya sekadar cantik pada statistik di atas kertas,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Hamzah pada Jumaat lalu dipecat keahlian partinya serta-merta selepas timbul pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu yang mendesak parti berbuat demikian kerana beliau didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu.
Sehari selepas dibuang parti, Hamzah menerusi Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama beliau di ibu negara berkata, beliau tidak menolak tiga kemungkinan hala tujunya setelah dipecat keahlian parti iaitu mengambil alih Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.
Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun menjelaskan sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan akan dilakukan secara konsensus bersama pemimpin lain yang turut dipecat Bersatu.
Hamzah juga menggesa rakyat supaya melangkah ke tahun baharu itu dengan tekad yang lebih padu, dengan keberanian untuk melakukan perubahan dan dengan keyakinan bahawa Malaysia mampu bangkit lebih kuat.
Beliau turut merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di negara ini.
Menurutnya, saban tahun rakyat meraikan kepelbagaian itu dengan penuh kegembiraan sekali gus menjadi tanda kekuatan sebuah negara bangsa Malaysia.
“Dalam kalendar lunar, tahun ini ialah Tahun Kuda. Kuda melambangkan kekuatan, ketangkasan, daya tahan dan semangat untuk mara ke depan. Kuda juga melambangkan kebebasan, kesetiaan dan keberanian menempuh cabaran demi sebuah kejayaan.
“Perlambangan ini amat bertepatan dengan keadaan negara hari ini. Malaysia memerlukan semangat ‘kuda yang gagah berlari’,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Tahun Kuda tuntut keberanian buat perubahan - Hamzah Zainudin
- Cabaran semasa dan mendatang mendambakan pembaharuan dalam konteks kepimpinan
- Kita mesti berlari dengan strategi yang tersusun dan realistik untuk kesejahteraan rakyat
- Hamzah dipecat dari keahlian Bersatu dan didakwa terlibat dalam gerakan menggesa pengunduran Presiden Bersatu
- Hamzah tidak menolak kemungkinan mengambil alih Parti Berjasa Malaysia, kembali ke UMNO ataupun menyertai Pas selepas dipecat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

