'MB, fikirkan kehidupan kami Orang Asli'

Sebahagian masyarakat Orang Asli serta pertubuhan NGO ketika penyerahan memorandum berkenaan.
Sebahagian masyarakat Orang Asli serta pertubuhan NGO ketika penyerahan memorandum berkenaan.
A
A
A

IPOH - Masyarakat Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta serta kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong memohon kerajaan negeri membatalkan rancangan untuk membangunkan kawasan berkenaan bagi tujuan projek pembukaan ladang hutan.

Difahamkan permohonan berkenaan dibuat berikutan kawasan berkenaan adalah kawasan hutan simpanan kekal selain didiami oleh masyarakat Orang Asli.

Jika projek berkenaan diteruskan, ia dikhuatiri bakal memberikan impak kepada kehidupan masyarakat Orang Asli berkenaan seperti berlakunya pencemaran sungai, hakisan tanah, kemusnahan habitat hidupan liar selain bakal kehilangan sumber hutan.

Penduduk Kampung Ulu Geruntum, Uda Tiah Bah Adim 54 berkata, pihaknya telah pun mengemukakan surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menyuarakan bantahan berhubung perkara berkenaan.

Malah menurut Uda Tiah, pihaknya turut mengemukakan bantahan berhubung perkara berkenaan mulai 2013 hingga 2014 lalu, namun sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang respon yang diterima.

Kerja-kerja yang dilakukan di kawasan hutan simpan berkenaan.
Kerja-kerja yang dilakukan di kawasan hutan simpan berkenaan.

“Saya mewakili penduduk di kampung saya Kampung Ulu Geruntum termasuk kampung-kampung lain yang terlibat dengan projek ini berharap agar perkara ini diberikan perhatian serta pertimbangan yang serius oleh kerajaan negeri untuk dihentikan.

“Oleh sebab itu, kami datang untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar sebagai tanda bantahan terhadap projek yang akan dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Uda Tiah berkata demikian ketika menyertai penyerahan memorandum bantahan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) kepada Menteri Besar Perak bagi membantah projek pembangunan ladang hutan di dalam kawasan hutan simpan Perak di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Memorandum berkenaan disampaikan oleh Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman kepada wakil pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Kamarudin Ahmad.

Lebih 20 penduduk Orang Asli termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir bagi menyertai penyerahan memorandum berkenaan.

Tambah Uda Tiah, penyerahan memorandum berkenaan bukan bermakna pihaknya menolak pembangunan dan kemajuan yang dirancang, tetapi projek berkenaan didapati telah melibatkan kawasan kediaman serta tanah yang dijadikan kawasan bercucuk tanam.

Katanya, biarpun ada perbincangan yang dibuat namun penduduk tidak bersetuju dengan cadangan projek berkenaan.

Meor Razak berkata sesuatu ketika menyerahkan memorandum kepada Khairudin.
Meor Razak berkata sesuatu ketika menyerahkan memorandum kepada Khairudin.

“Memang ada perbincangan, tetapi kami tak setuju dan kami tulis surat, tak ada jawapan. Kami buat bantahan daripada 2012 hingga 2013 langsung tak endah.

Sementara itu Meor Razak berkata, memorandum berkenaan mengandungi dua bantahan iaitu melibatkan bantahan terhadap kelulusan yang diberikan terhadap projek pembangunan ladang hutan di kawasan hutan simpan Kledang Saiong serta Bukit Kinta manakala satu lagi bantahan adalah berhubung sebuah kawasan lereng bukit seluas 10 hektar yang telah dibersihkan.

Katanya, kelulusan berkenaan secara keseluruhannya melibatkan empat kawasan di dua banjaran Kledang Saiong dan Banjaran Titiwangsa selain turut melibatkan dua kawasan hutan simpan.

“Kita juga perlu ambil maklum, tuanku sultan (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) dah isytiharkan kawasan Lembah Kinta ini sebagai kawasan Geo Park.

“Bermakna ia adalah pengisytiharan untuk kawasan semula jadi ini perlu dikekalkan, dipelihara. Tak bolehlah digondolkan sesuka hati,” katanya.

“Kami bantah projek ini kerana ia dibangunkan di perkampungan kami, libatkan harta benda dan kawasan bercucuk tanam kami di kampung. Kami bukan tolak pembangunan dan kemajuan, cuma pertahankan kawasan rumah kami, kampung kami.

“Kami minta Menteri Besar fikirkan kehidupan kami Orang Asli, kalau hancur hutan di mana kami nak tinggal? Di mana tanah adat kami? Pertimbangkan kehidupan kami di pedalaman ini. Bukan kami nak tinggal setahun, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.