Projek Perak Youth Center diteruskan, kos dikurangkan kepada RM15 juta

IPOH - Projek pembinaan Perak Youth Center (PYC) yang sebelum ini tertangguh, diumum akan dilaksanakan semula dengan kos jauh lebih rendah iaitu RM15 juta dan sasaran siap dalam tempoh dua tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, projek berkeluasan 2.7 hektar itu telah mendapat kelulusan kerajaan dan kini berada dalam fasa pra-pelaksanaan dengan proses tender terbuka dijangka dibuka tahun ini.
"RM15 juta ini adalah untuk struktur keseluruhan. Kita telah buat semakan semula harga yang diluluskan sebelum ini dan didapati, jumlah RM15 juta ini adalah mencukupi memenuhi spesifikasi diperlukan merangkumi pembinaan gelanggang sintetik, pejabat, astaka dan dewan serbaguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Perak Youth Center di Tambun pada Rabu yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.
Mengulas kelewatan projek yang sebelum ini disasarkan siap pada 2025, Mohammed Taufiq menjelaskan ia berpunca daripada beberapa isu teknikal termasuk penyerahan tanah dan proses perolehan, namun semua perkara tersebut telah diselesaikan.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau rapat pelaksanaan projek bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual.
"Terdapat sedikit isu tanah dan hal-hal teknikal sebelum ini, tetapi semuanya telah selesai. Kini kita sangat positif projek ini dapat berjalan dengan lancar dan mengikut garis masa yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, kewujudan pusat belia itu akan menjadi platform utama kepada golongan belia dan penduduk setempat untuk beriadah, berkreasi serta menjalankan aktiviti sosial dan sukan yang positif.
Ujarnya, selain itu ia mampu berperanan membantu mengurangkan gejala tidak sihat dalam kalangan anak muda, selain melahirkan generasi yang lebih sihat dan berdisiplin.
"Pusat ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada golongan belia, tetapi juga kepada komuniti sekitar termasuk kawasan perumahan berhampiran yang melibatkan hampir 2,000 rumah," katanya.
Pada Oktober 2022, media melaporkan, masyarakat di kawasan Parlimen Tambun bakal menikmati kemudahan sukan baharu apabila sebuah pusat belia bertaraf antarabangsa berkeluasan 2.7 hektar dibangunkan melibatkan kos sebanyak RM45 juta.
Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat berkenaan dijangka siap pada 2025 dan merupakan pusat belia kedua di negara ini selepas yang pertama di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Projek pembinaan Perak Youth Center akan dilaksanakan semula dengan kos RM15 juta
- Sasaran siap dalam tempoh dua tahun
- Proses tender terbuka dijangka dibuka tahun ini
- Kelewatan projek berpunca daripada isu teknikal termasuk penyerahan tanah dan proses perolehan
- Pusat ini akan menjadi platform utama untuk aktiviti sosial dan sukan bagi golongan belia dan penduduk setempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

