Gurauan 'monyet' oleh suami berakhir dengan tragedi

Impian Tannu Singh untuk bergelar model tidak kesampaian. - Foto: Agensi
Impian Tannu Singh untuk bergelar model tidak kesampaian. - Foto: Agensi
A
A
A

LUCKNOW – Impian seorang wanita muda yang meminati dunia peragaan berakhir dengan tragedi apabila dia meninggal dunia dipercayai mengalami tekanan emosi susulan kata-kata penghinaan daripada suaminya.

Mangsa, Tannu Singh ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik berkunci di kediamannya di kawasan Indiranagar, Lucknow dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ram Manohar Lohia pada Rabu, menurut polis Uttar Pradesh.

Menurut adik mangsa, Anjali, kejadian berlaku selepas mereka sekeluarga pulang dari rumah saudara di Sitapur pada petang hari yang sama.

Ketika berada di rumah, mereka dilaporkan sedang berbual dan bergurau sebelum suami mangsa, Rahul Srivastava secara spontan memanggil Tannu dengan gelaran ‘monyet’ yang dipercayai telah melukakan perasaannya.

Berikutan itu, Tannu dikatakan keluar dari bilik utama dan masuk ke sebuah bilik lain seorang diri.

Rahul yang bekerja sebagai pemandu beca elektrik memaklumkan kepada polis bahawa suasana sebelum itu hanyalah gurauan biasa dan dia keluar sebentar untuk membeli makanan.

Namun, apabila pulang dan meminta Anjali memanggil Tannu, mereka mendapati pintu bilik berkenaan berkunci dari dalam.

Anjali kemudian mengintai melalui tingkap dan melihat kakaknya tidak sedarkan diri sebelum menjerit meminta pertolongan.

Penduduk sekitar bersama Rahul bertindak memecahkan pintu dan membawa mangsa ke hospital, namun doktor mengesahkan Tannu telah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Polis menjalankan bedah siasat dan setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, sementara siasatan lanjut diteruskan. Tiada laporan rasmi bertulis dibuat oleh keluarga buat masa ini.

Ahli keluarga memaklumkan bahawa Tannu dan Rahul berkahwin kira-kira empat tahun lalu melalui perkahwinan cinta yang kemudiannya direstui kedua-dua pihak keluarga. Pasangan itu tidak mempunyai anak.

Menurut keluarga, Tannu mempunyai minat mendalam dalam bidang peragaan dan sering menyatakan hasrat untuk mencuba nasib sebagai model menjadikan kejadian itu lebih menyayat hati.

Kes ini sekali lagi mencetuskan perbincangan awam di India mengenai kesan kata-kata penghinaan, tekanan emosi dalam rumah tangga serta keperluan sokongan psikososial yang lebih kukuh, khususnya kepada wanita muda yang berdepan tekanan peribadi dan sosial. – Agensi

Ringkasan AI

  • Wanita muda peminat dunia peragaan meninggal dunia akibat tekanan emosi selepas dihina suaminya
  • Mangsa, Tannu Singh, ditemui tidak sedarkan diri di bilik berkunci di kediamannya di Lucknow dan disahkan meninggal di hospital
  • Kejadian berlaku selepas pulang dari rumah saudara, di mana suami mangsa, Rahul Srivastava, secara spontan memanggil Tannu 'monyet'
  • Suasana sebelum kejadian hanya gurauan biasa menurut Rahul yang keluar sebentar untuk membeli makanan
  • Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, siasatan lanjut oleh polis berjalan tanpa laporan rasmi dari keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!