Permohonan penceraian meningkat di Terengganu

WAN ABDUL MALIK
WAN ABDUL MALIK
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Permohonan penceraian di Terengganu meningkat sebanyak 16 peratus dalam tempoh tiga bulan tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Wan Abdul Malik Wan Sidek berkata, sebanyak 1,311 permohonan perceraian diterima dengan peningkatan sebanyak 211 berbanding 1,100 permohonan yang dikemukakan bagi tempoh sama pada 2018.

Menurutnya, peningkatan kes perceraian paling tinggi direkodkan melibatkan pasangan yang berkahwin pada fasa perkahwinan belum matang iaitu dalam tempoh antara sehari hingga lima tahun perkahwinan.

“Selain faktor ekonomi dan kurang sefahaman antara pasangan, pengaruh media sosial turut menyumbang peningkatan kes perceraian di negeri ini.

“Faktor media sosial ini biasanya menyebabkan perasaan cemburu dalam kalangan pasangan misalnya, isteri bertemu semula bekas kekasih, kawan lama di sekolah. Ini menyebabkan suami berasa cemburu hingga membawa kepada penceraian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu pertiga daripada 13,000 perkahwinan yang didaftarkan di negeri ini pada tahun lalu berakhir dengan penceraian.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 4,403 kes penceraian direkodkan pada 2018 dengan purata 12 kes penceraian setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, bagi membendung peningkatan kes penceraian, Jabatan Agama Islam Negeri disarankan mengemas kini serta membuat kajian semula terhadap modul kursus pra perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

“Antara aspek yang perlu diberi penekanan ialah menguruskan sesebuah perkahwinan, kewangan dan mengawal emosi.

“Aspek-aspek ini penting bagi mengelak berlakunya lebih banyak kes penceraian,” katanya.