Dasar mineral negara dibangunkan dalam tempoh tiga bulan

Fadillah Yusof (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. - Foto Bernama
Fadillah Yusof (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan membangunkan Dasar Mineral Negara dalam tempoh tiga bulan mulai hari ini, bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan nadir bumi yang diperkenalkan ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, dasar ini bertujuan menguruskan mineral negara secara bertanggungjawab, mengimbangi antara keperluan sektor ekonomi dan pendapatan negara serta memastikan kemampanan alam sekitar terpelihara.

"Potensi mineral untuk menyumbang kepada pendapatan negara agak besar, dengan nilai rizab mineral yang kita ada ketika ini lebih kurang RM4 trilion.

"Oleh itu, usaha yang diambil dalam membangunkan sumber mineral perlu dibuat dengan teratur, tersusun supaya keperluan ekonomi itu tidak menjejaskan kesejahteraan sosial rakyat termasuk alam sekitar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Kedah mempunyai sumber mineral nadir bumi yang terbanyak berbanding negeri lain pada masa ini.

Fadillah berkata, antara perkara lain yang diberi penekanan semasa mesyuarat tersebut adalah isu berkaitan pembangunan industri mineral secara menyeluruh melalui pewujudan keseluruhan rantaian nilai mineral yang bermula dari peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

"Dalam mesyuarat ini turut dibangkitkan isu berkaitan penerokaan sumber mineral secara haram melalui perlombongan haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Dalam hal ini, kerajaan Persekutuan telah menggesa semua kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius terhadap isu ini melalui peningkatan kawalan dan pemantauan khususnya kawasan sensitif seperti Hutan Simpan Kekal (HSK) dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani isu tersebut, kerajaan Persekutuan sedang dalam usaha untuk menubuhkan pasukan petugas bagi mengatasi isu perlombongan haram.

"Penubuhan pasukan petugas ini akan melibatkan pelbagai pihak meliputi jabatan teknikal dan agensi penguatkuasaan dari peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya. - Bernama

-- BERNAMA

TAG: Fadillah Yusof, Dasar Mineral Negara, alam sekitar, Majlis Mineral Negara Kedua, nadir bumi