Isu kalimah ALLAH terus hangat

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TINDAKAN kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kalimah ALLAH terus hangat dibahaskan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak sensitif dalam isu kalimah ALLAH apabila secara tiba-tiba menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ALLAH.

Beliau yang juga bekas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung mempertahankan kesucian kalimah ALLAH dalam kes berkenaan turut menzahirkan rasa kesal, terkilan dan kecewa berhubung tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.

"Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa KDN bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah ALLAH ini amat-amat sensitif.

"Lebih menyedihkan apabila bukan sahaja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap, bahkan Notis Pemberhentian bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan serta pemberhentian keseluruhan rayuan ini juga dibuat pada 18 April 2023, iaitu dalam bulan Ramadan," katanya.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga dilapor membantah tindakan kerajaan dalam kes berkenaan.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kes itu bukan sahaja berkaitan isu pentadbiran dan keselamatan, namun membabitkan akidah serta pentadbiran Islam di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

Bagaimanapun, perkembangan baharu yang dilaporkan berhubung usaha kerajaan bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu, dijangka meredakan sedikit ketegangan.

Jemaah Menteri dilapor telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan pada Rabu yang turut menegaskan bahawa tindakan menarik balik rayuan tersebut tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

"Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Al Sultan Abdullah pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH," katanya.

Namun, dalam tempoh proses mendapatkan sebarang keputusan daripada Majlis Raja-Raja, perdebatan dalam kalangan rakyat wajar menjadi perkara yang diberi perhatian.

Isu kalimah ALLAH yang dibahaskan secara lantang di media sosial dikhuatiri menggugat kestabilan dan keharmonian negara selain menyebabkan wujud sifat benci sesama Islam apabila tidak ada kata sepakat dalam hal berkenaan agama.

Adakah agama itu menjadi medan kebencian dan bukan pendamaian?

Justeru, kerajaan tidak boleh lagi berlengah dalam usaha menyelesaikan isu tersebut demi memastikan masyarakat mampu menjalani hidup dengan lebih baik dan bukan menanam perasaan benci terhadap agama lain yang juga mesti dihormati.

Segala keputusan yang dilakukan perlu bertepatan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan kepada pentadbiran yang harmoni.

Selain itu, orang ramai juga dinasihati berhati-hati dalam memberi pandangan agar tidak menyebarkan sentimen tidak berasas sehingga menyebabkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.