Kalimah ALLAH: MAIS tidak setuju kerajaan, KDN tarik balik rayuan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abdul Aziz
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju tindakan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS berpendirian kes itu bukan hanya berkaitan isu pentadbiran dan keselamatan tetapi turut melibatkan akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai Ketua Agama Negeri.

"Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).

"Bagaimanapun, MAIS merasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan MAIS dan pihak-pihak lain terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini.

"MAIS sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Selangor.

"MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertarikh 23 Mac 2021 melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, Sultan Selangor bertitah bahawa penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Selangor.

"Baginda berpendirian bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

"Namun begitu, baginda tiada halangan sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God' dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian," katanya.

MAIS juga mengulangi kenyataan MAIS sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam di Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010.

Menurutnya, MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah ALLAH.

Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.

"Ini untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri Selangor," katanya.