Penggunaan Seksyen 124B terhadap isteri Daim melampau, keterlaluan – Armada Bersatu

SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandang serius siasatan polis berhubung dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan berkaitan lantikan firma perhubungan awam oleh Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Exconya, Na’im Brundage berkata, penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kes tersebut disifatkan sebagai melampau dan keterlaluan, memandangkan sehingga kini tiada bukti kukuh yang menunjukkan tindakan beliau membahayakan sistem demokrasi berparlimen negara.
Menurut Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu itu, undang-undang begini sepatutnya hanya digunakan bagi menangani ancaman sebenar terhadap keselamatan negara, bukannya menekan mana-mana pihak yang mempunyai perbezaan pandangan politik dengan kerajaan.
"Armada Bersatu menegaskan bahawa proses semak dan imbang adalah hak asas dalam sistem demokrasi, ia tidak boleh disamakan dengan pengkhianatan terhadap negara.
"Kami juga berpendapat, tindakan keterlaluan kerajaan berisiko menimbulkan persepsi bahawa siasatan ini satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada pendedahan media antarabangsa, Bloomberg mengenai rangkaian mafia korporat dan isu pemilikan saham oleh kepimpinan penguatkuasa yang sehingga kini belum terjawab.
"Sehubungan itu, kami meminta pihak berkuasa supaya bertindak adil dan bertanggungjawab dalam siasatan ini serta menumpukan perhatian kepada isu sebenar demi kebaikan dan kestabilan negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, Na’imah tampil menafikan terlibat dalam sebarang bentuk usaha menggulingkan kerajaan sepertimana didakwa pihak tertentu.
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu menegaskan, tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah melucukan dan langsung tidak masuk akal.
Beliau menambah, cubaan mengaitkan dirinya dengan pendedahan laporan Bloomberg melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilapor mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Mohd Khalid memaklumkan, siasatan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Untuk makluman, mana-mana individu didapati bersalah melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan sistem demokrasi negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Ringkasan AI
- Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia menganggap penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan melampau dalam siasatan terhadap Na'imah Abdul Khalid
- Undang-undang tersebut dianggap sepatutnya digunakan untuk ancaman sebenar keselamatan negara, bukan menekan perbezaan pandangan politik
- Armada Bersatu menegaskan proses semak dan imbang adalah hak asas dalam sistem demokrasi dan tidak sama dengan pengkhianatan negara
- Persepsi bahawa siasatan ini mungkin cubaan mengalih perhatian dari isu-isu lain seperti pemilikan saham oleh kepimpinan penguatkuasa dan mafia korporat
- Na'imah Abdul Khalid menafikan terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan dan mengaitkan dirinya dengan pendedahan Bloomberg tentang SPRM adalah tidak bertanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

