Kalimah ALLAH: Kabinet persembah cadangan kepada Majlis Raja-Raja

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jemaah menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Pada masa sama, ia memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, jemaah menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ALLAH hanya berkisar soal

pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

"Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Al Sultan Abdullah pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tegas beliau, kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman serta damai.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kritikan pelbagai pihak yang meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah ALLAH.