Kerajaan Perpaduan tak sensitif isu kalimah ALLAH

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak sensitif dalam isu kalimah ALLAH.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan secara tiba-tiba menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Sebagai bekas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung mempertahankan kesucian kalimah ALLAH dalam kes berkenaan, beliau turut menzahirkan rasa kesal, terkilan dan kecewa berhubung tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.

"Dalam Perlembagaan, apa juga keputusan perbicaraan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan semua pihak perlu membenarkan proses undang-undang ini mengambil tempat dengan sewajarnya tanpa sebarang campur tangan.

"Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa KDN bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah ALLAH ini amat-amat sensitif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah suci tersebut dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Tambah Hamzah, lebih menyedihkan apabila bukan sahaja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap, bahkan Notis Pemberhentian bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan serta pemberhentian keseluruhan rayuan ini juga dibuat pada 18 April 2023, iaitu dalam bulan Ramadan.

"Sedangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2018 telah menegaskan bahawa ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

"Malah, keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu diperkukuhkan lagi dengan titah Sultan Selangor, Sultan Johor serta Sultan Kedah bahawa kalimah ALLAH adalah hak eksklusif umat Islam dan melarang sama sekali penggunaannya dalam Bible atau percetakan apa-apa buku serta tulisan melibatkan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun," jelasnya.

Pada masa sama, Hamzah mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu hanya terpakai di Sarawak.

Justeru, beliau menegaskan keputusan Kerajaan Perikatan Nasional memfailkan rayuan menggunakan saluran perundangan dan kehakiman dalam memelihara kesucian agama Islam dan kalimah ALLAH adalah tepat.

"Keputusan kerajaan campuran PH-BN menarik balik rayuan adalah salah dan tersasar sama sekali," katanya.