UAS unit terbaru ditempatkan di pangkalan TLDM Kota Kinabalu

A
A

KOTA KINABALU - Satu unit baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu sistem pesawat tanpa pengendali atau Unmanned Aerial System (UAS) akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu bagi mempertingkatkan lagi keupayaan pemantauan sedia ada.

Panglima Armada Timur Laksmana Madya, Datuk Rahman Ayob berkata, unit pemantau baharu TLDM berkenaan, kini dalam proses penubuhan pasukan dengan membuat pemilihan anggota yang sesuai, dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.

“UAS ini akan menggunakan ‘dron’ untuk pengawasan udara, dan saya percaya dengan adanya aset ini akan meningkatkan lagi keberkesanan pengoperasian di Markas Armada Timur ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Panglima Tentera Laut dan Majlis Jasamu Dikenang di sini, hari ini.

Keupayaan teknologi UAS akan menjadi ‘Maritime Force Multiplier’ iaitu konsep penggandaan keupayaan bagi kemampuan meliputi jarak, masa serta kawasan operasi, bagi memperkasakan kesiagaan pertahanan maritim negara khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan berkepentingan negara.

Rahman berkata, selain itu TLDM juga merancang menempatkan kesemua kapal peronda luar pantai kelas-Kedah di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

“Setakat ini Armada Timur telah menerima empat kapal peronda berkenaan dan baki dua lagi kapal akan ditempatkan di pangkalan ini pada tahun hadapan,” tambahnya.

Beliau berkata Armada Timur juga bakal menerima satu kapal misi pesisir (LMS) pada 2021 bergantung dengan perbincangan Armada Barat dan Armada Timur.

Pembinaan kapal LMS oleh China Shipbuilding and Offshore International Co. Ltd (CSOC) dan Boustead Naval Shipyard merupakan 1 daripada 5 kelas atau jenis kapal yang dilulus kerajaan di bawah program transformasi armada TLDM 15 ke-5 untuk membolehkan TLDM melaksana tugas operasi secara berterusan di perairan maritim dan memperkukuhkan kedaulatan negara. – Bernama